Sarawak bakal bina akademi sukan bertaraf antarabangsa – Abang Johari

05/12/2020 05:19 PM

KOTA SAMARAHAN, 5 Dis — Sarawak akan membina sebuah akademi sukan bertaraf antarabangsa dengan dilengkapi teknologi terkini khusus untuk mengasah bakat para belia negeri ini menjadi atlet berkelas dunia, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini.

Beliau berkata Sarawak komited untuk mengembangkan lagi pembangunan para belia di negeri ini seiring dengan misi menjadi negeri maju menjelang 2030.

“Kita melihat apa yang berlaku di New Zealand. Populasinya hanya empat juta orang sahaja tetapi mereka mampu melahirkan atlet hebat kerana latihan terbaik yang diberikan kepada para belia sehingga menjadi juara di Sukan Olimpik.



 

Jadi saya dan rakan-rakan dalam kerajaan negeri telah bersetuju mewujudkan sebuah akademi sukan dengan (kos) boleh tahan harganya demi kepentingan belia di Sarawak,” katanya semasa berucap pada sambutan Hari Belia peringkat negeri 2020 di Kompleks Sukan Asajaya dekat sini.

Sementara itu, Abang Johari berkata pihaknya juga memperkenalkan dasar baharu untuk membantu belia di Sarawak yang antaranya memberi fokus kepada bidang seni persembahan, nyanyian dan sukan.



Katanya, dana lebih RM169 juta diperuntukkan untuk membangunkan seni persembahan bagi mewujudkan seni budaya Sarawak yang seterusnya akan memberi latihan kepada belia yang mempunyai bakat dalam bidang nyanyian, lakonan dan bidang yang berkaitan.

“Antara sebab saya mewujudkan stesen televisyen sendiri – TV Sarawak, selain peluang pekerjaan, ia juga boleh mempopularkan drama kita…kalau Korea Selatan ada drama yang bertajuk ‘Winter Sonata’, mungkin di Sarawak (nanti akan) ada (drama bertajuk) Asajaya,” katanya.

Sambutan Hari Belia 2020 yang bertemakan ‘Belia Pemacu Transformasi Digital Sarawak’ itu melibatkan para belia yang terdiri daripada pelajar sekolah, pelajar pengajian tinggi awam dan swasta serta orang ramai yang berusia dalam lingkungan 15 hingga 40 tahun.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.



JDT, Selangor terus manfaat bakat Akademi Mokhtar Dahari

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button