Polis rampas pokok kayu karas bernilai RM2 juta


ACP Razali Abu Samah

22/12/2020 10:32 PM

SERDANG, 22 Dis — Polis berjaya merampas 10 batang pokok kayu karas dipercayai dicuri serta pelbagai hasil produk daripada kayu berkenaan, dianggarkan bernilai RM2 juta hasil serbuan ke atas tiga lot kedai di Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan, hari ini.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP Razali Abu Samah berkata dalam serbuan pada 8.30 pagi itu pihaknya turut menahan tiga lelaki tempatan dipercayai pemilik dan penjaga premis, serta sepasang suami isteri warga asing berumur lingkungan 30 hingga 58 tahun.



“Selain arca dan pokok kayu karas, polis turut merampas 16 guni berisi habuk kayu karas dianggarkan seberat 100 kilogram bagi setiap guni, 37 botol cecair kayu karas yang sudah diproses dan 10 kulit kayu gaharu,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan di sini, hari ini.

Razali berkata siasatan awal mendapati kegiatan beli dan memproses pokok kayu karas untuk dijadikan minyak wangi, arca dan colok di premis itu telah beroperasi sejak 2018 dan aktiviti itu terbongkar selepas pihaknya menerima empat laporan pada Oktober dan November lalu.

Berdasarkan laporan berkenaan kata Razali kayu itu dipercayai ditebang dan dicuri dari dalam hutan di Pusat Pendidikan Perhutanan Sultan Idris Shah (SISFEC), Universiti Putra Malaysia (UPM) di Hutan Simpan Ayer Hitam, Puchong meskipun suspek mereka membelinya dari Pahang.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati pemilik premis tidak mempunyai lesen perniagaan sah dan hanya mendaftarkan perniagaannya di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk menjalankan perniagaan menghasilkan ‘swiflet vinegar’ atau cuka burung walit, bagi kegunaan perusahaan sarang burung walit.



Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 84(1) Akta Perhutanan Negara 1984.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button