Bekas pegawai bank dihukum mati kerana rasuah di China

BEIJING: Bekas ketua syarikat pengurusan aset terbesar milik kerajaan China dijatuhkan hukuman mati semalam kerana menerima rasuah berjumlah AS$260 juta (RM1.04 bilion).

Lai Xiaomin, bekas anggota Parti Komunis China, membuat pengakuan terperinci yang disiarkan di televisyen CCTV negara itu baru-baru ini, menunjukkan peti besi dan kabinet dipenuhi wang tunai di sebuah apartmen Beijing yang didakwa dimilikinya.

Menurut mahkamah di Tianjin, Lai menunjukkan ‘niat jahat yang melampau’, menyalahguna kedudukan bagi mendapatkan sejumlah besar sogokan yang disifatkan ‘sangat besar’ dan turut melabelkannya sebagai ‘sangat serius’.

Dia adalah bekas pengerusi China Huarong Asset Management Co (Huarong) yang disenaraikan di Hong Kong sebagai kumpulan pengurus hutang bermasalah.

Lai juga didapati bersalah kerana bersekedudukan dengan seorang lagi wanita selain isterinya untuk tempoh yang lama dan mempunyai beberapa anak luar nikah.

Huarong adalah satu daripada empat syarikat yang ditubuhkan pada 1999 untuk membantu membersihkan hutang lapuk yang menjejaskan sistem perbankan China.

Syarikat itu kemudian berkembang menceburi bidang perniagaan pelaburan, pinjaman dan hartanah.

Kejatuhan Lai bermula pada April 2018 ketika penyiasat melucutkan jawatannya dan disingkirkan daripada menganggotai Parti Komunis China.

Dia dipercayai menyalah gunakan jawatannya bagi menggelapkan dana lebih 25 juta yuan (RM15.27 juta) antara 2009 dan 2018.

Ketika membuat pengakuan di stesen televisyen, Lai mendakwa ‘ tidak membelanjakan sesen pun wang sogokan itu’ dan hanya menyimpannya kerana ‘tidak tidak berani membelanjakannya’.

Dia merujuk apartmen di mana wang berkenaan disimpan sebagai sebagai ‘pasar raya’ berikutan sering mengunjunginya untuk menyimpan wang tunai.

CCTV turut menunjukkan kereta mewah dan jongkong emas dilaporkan diterima sebagai sogokan oleh Lai, yang bekerja di bank pusat dan Suruhanjaya Kawal Selia Perbankan China sebelum memegang jawatan sebagai ketua di Huarong.

Hukuman itu mengakhiri salah satu kes jenayah kewangan terbesar di China dan berlaku ketika Beijing mengambil tindakan yang semakin tegas terhadap kesalahan korporat. – AFP

Leave a Reply