Status pemulihan air capai 57 peratus

Foto hiasan

 

KUALA LUMPUR: Status pemulihan bekalan air setakat jam 7 pagi tadi, di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling dan Hulu Langat sudah mencapai tahap 57 peratus.

Ketua Komunikasi Korporat, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri, berkata kerja-kerja pembaikan paip pecah disebabkan oleh pihak ketiga di Jalan Sering, Taman Sungai Sering di Cheras siap dilaksanakan sepenuhnya pada jam 11 malam, semalam dan bekalan air sudah mula disalurkan kepada pengguna bermula jam 2 pagi tadi.

Katanya, Air Selangor sedang berusaha untuk menstabilkan sistem agihan bagi memastikan pengguna mendapat bekalan air dengan segera terutama dalam situasi pandemik COVID-19.



“Pemulihan bekalan air di semua kawasan yang terjejas adalah secara berperingkat-peringkat bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

“Bekalan air di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling dan Hulu Langat dijangka akan pulih sepenuhnya pada jam 6 petang, hari ini.

“Bantuan bekalan air melalui lori tangki sedang giat digerakkan kepada pengguna yang terjejas,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Bagi maklumat lanjut dan status terkini bekalan air, pengguna boleh layari laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com atau merujuk semua saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter, atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button