Mexico catat 283 kes bunuh dalam masa tiga hari lepas

BANDARAYA MEXICO – Mexico mencatatkan 283 kes pembunuhan dalam tempoh tiga hari lalu, menurut pihak berkuasa negara itu, lapor Agensi Anadolu.

Berdasarkan laporan harian Kementerian Keselamatan dan Perlindungan Rakyat, sebanyak 93 pembunuhan pada Jumaat lalu, 107 (Sabtu) dan 83 (Ahad).

Guanajuato, Jalisco dan Michoacan ialah negeri yang mencatatkan jumlah kes pembunuhan paling tinggi.



Sementara negeri Jalisco melaporkan paling banyak pembunuhan pada Jumaat iaitu sebanyak 14 kes, manakala Guanajuato pula mencatatkan lebih 20 kes pada Sabtu.

Pada malam Sabtu, pihak berkuasa di Guanajuato menerima laporan mengenai kejadian tembakan di perbandaran Irapuato, enam lelaki dan enam wanita maut di sebuah bar.

Kejadian itu yang kedua berlaku di Guanajuato dalam tempoh sebulan.

Pada 21 September lalu, lelaki bersenjata tidak dikenali menyerbu sebuah bar di perbandaran Tarimoro di Guanajuato, meragut 10 nyawa.



Peningkatan terbaru dalam keganasan terancang yang direkodkan di negara itu, antara lain didakwa berpunca daripada kelemahan Presiden Mexico, Andres Manuel Lopez Obrador yang enggan mengubah strategi keselamatan.

Sebaliknya, Lopez Obrador menyatakan strategi keselamatan awamnya sudah membuahkan hasil positif.

Bagaimanapun, sejak beliau menjadi presiden pada Disember 2018, lebih 34,000 pembunuhan dilaporkan dalam tempoh setahun.

Pada awal bulan ini, Kongres Mexico meluluskan rang undang-undang untuk tentera negara itu melakukan rondaan di jalan, satu langkah yang menimbulkan kebimbangan kerana kadar kes pembunuhan masih tidak berkurangan.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button