Sabah sedia SOP khas di semua PPS, elak penularan COVID-19 – Masidi

Hebahkan !!!


Datuk Masidi Manjun

18/01/2021 10:28 PM

KOTA KINABALU, 18 Jan — Kerajaan Negeri Sabah menyediakan prosedur operasi standard (SOP) khusus untuk pengurusan mangsa banjir di semua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mengikut garis panduan ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengelak penularan jangkitan COVID-19 di pusat berkenaan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan COVID-19 Datuk Masidi Manjun berkata ini termasuk memastikan PPS menempatkan jumlah mangsa bersesuaian dengan penjarakan fizikal, menjalankan saringan asas, menyediakan buku pendaftaran, imbasan MySejahtera, pengasingan mangsa serta rawatan lanjut bagi mangsa bergejala oleh KKM.

”Kerajaan Sabah melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri juga telah membuat persiapan sewajarnya bagi penyediaan logistik, penempatan mangsa dan peralatan perlindungan diri (PPE) untuk menghadapi bencana banjir di negeri ini yang diselaraskan oleh semua agensi kerajaan berkaitan,” katanya dalam sidang media harian COVID-19 Sabah di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Masidi berkata kerajaan negeri telah mengagihkan sebanyak 318,889 bakul makanan kepada golongan sasar, setakat ini.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat negeri Shahelmey Yahya dalam kenyataan hari ini berkata sebanyak 102 bantuan bakul makanan diagihkan di empat daerah hari ini iaitu Beluran, Putatan, Nabawan dan Tenom.

Dalam sidang media yang sama Masidi berkata Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) memandang serius isu klip video memaparkan sekumpulan individu meminum minuman keras di sebuah Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) yang tular di media sosial baru-baru ini.

Beliau berkata JKNS tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat bukti bahawa kakitangan jabatan itu terlibat dalam isu berkenaan dan tindakan tatatertib boleh dikenakan selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A)395].

“Pengurusan PKRC terbabit telah mula membuat pemeriksaan mengejut ke atas beg pesakit yang dibawa masuk ke PKRC bagi mengelakkan perkara sama berulang,” katanya dalam sidang media harian COVID-19 Sabah di sini, hari ini.

Dalam video berdurasi lebih 10 saat itu, kelihatan seorang lelaki di sebuah PKRC sedang berbual dengan individu lain sambil memegang tin bir dan turut kelihatan dua bekas berisi bir.

Masidi berkata JKNS dengan kerjasama pasukan polis masih menjalankan siasatan lanjut video tular berkenaan, selain polis tidak menolak kemungkinan minuman keras itu dibawa sendiri atau dibantu oleh kakitangan bertugas di PKRC berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Masidi berkata semua pelajar Sabah yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) digalakkan menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum kembali ke asrama masing-masing.

Sehubungan itu, Masidi berkata, JKNS telah mengarahkan semua Pejabat Kesihatan Kawasan dan Pejabat Kesihatan Daerah bekerjasama dengan Pejabat Pendidikan Daerah bagi menjalankan saringan berkenaan ke atas pelajar asrama sebagai langkah membendung penularan jangkitan COVID-19 di asrama sekolah.

Mengenai perkembangan COVID-19 Sabah hari ini, Masidi berkata, sebanyak 432 kes positif baharu direkodkan menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 44,076 kes, dengan satu kematian dilaporkan di Kudat.

Beliau berkata seramai 438 pesakit sembuh dan dibenarkan keluar hospital hari ini, menjadikan jumlah kumulatif pesakit COVID-19 sembuh di Sabah seramai 39,764 orang.

”Sejumlah 2,906 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 794 di hospital dan 2,112 orang di PKRC. Seramai 91 pesakit COVID-19 ditempatkan di unit rawatan rapi, dengan 23 orang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated),” katanya dan menambah ujian ke atas 3,799 sampel ujian COVID-19 di negeri ini masih tertunggak setakat hari ini.

— BERNAMA

Leave a Reply

%d bloggers like this: