Saingan Piala Juara-juara STL bakal diteruskan selepas PKP tamat


Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) Datuk Seri Ahmad Ismail

18/01/2021 04:08 PM

Oleh Mazani Mohd Yusoff

KUALA LUMPUR, 18 Jan — Kejohanan Piala Juara-Juara Sepak Takraw League (STL Champions Cup) di Iskandar Puteri, Johor yang terpaksa dihentikan sementara, bakal bersambung semula selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.



Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) Datuk Seri Ahmad Ismail berkata pemain negara yang beraksi pada kejohanan berkenaan telah kembali ke Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil bagi menyambung semula sesi latihan pusat, manakala selebihnya pulang ke negeri masing-masing.

Beliau berkata kesemua pemain dan pegawai pertandingan terlibat dalam kejohanan Piala Juara-Juara STL yang bermula pada 10 Jan lalu, diwajibkan menjalani ujian saringan COVID-19 sebaik sahaja kejohanan berkenaan dibenarkan bersambung semula.

“Kalau dah dibenarkan, kita akan beri peluang kepada pasukan (bertanding) untuk membuat latihan dalam lima hari ke seminggu sebelum sambung semula (kejohanan berkenaan),” katanya kepada Bernama.

PKP dikuatkuasakan di Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor, Sabah, Kelantan serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan selama 14 hari hingga 26 Jan ini.



Bagaimanapun di Sarawak, pelaksanaan PKP bermula 16 Jan hingga 29 Jan melibatkan tiga daerah di Bahagian Sibu iaitu daerah Sibu, Selangau dan Kanowit.

PKP Bersyarat (PKPB) pula dilaksanakan di Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Dalam pada itu, Ahmad Ismail berpuas hati dengan mutu pengadilan pada saingan Piala Juara-Juara STL walaupun mengakui masih menerima beberapa aduan mengenai perkara tersebut.

Beliau memaklumkan PSM sentiasa berusaha untuk mengelak kesilapan dilakukan juri pertandingan bagi memastikan kejohanan berkenaan berjalan lancar tanpa sebarang masalah.



Saingan Piala Juara-Juara STL melibatkan enam pasukan terbaik dalam Divisyen Premier STL iaitu juara musim ini Kuala Lumpur Thunders, ATM Guardians, Johor Tigris, Negeri Sembilan Antlers, Kelantan Warriors dan Penang Black Panthers, serta dua pasukan terbaik Divisyen Satu STL iaitu Bomba Fighters dan Putrajaya Cyborg.

Johor Tigris yang meraih kedudukan ketiga dalam saingan Divisyen Premier STL pada musim ini, merupakan juara bertahan Piala Juara-Juara STL.

Piala Malaysia: Realiti pahit yang perlu ditelan



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button