Pengkritik Kremlin Navalny ditahan 30 hari

Hebahkan !!!

19/01/2021 02:02 PM

MOSCOW, 19 Jan — Sebuah mahkamah Rusia pada Isnin memutuskan ahli politik pembangkang Alexey Navalny akan terus ditahan sehingga 15 Februari, kurang 24 jam sejurus beliau tiba di Moscow, lapor Agensi Anadolu.

“Alexey Navalny ditahan selama 30 hari sehingga 15 Februari 2021,” kata peguam Navalny, Vadim Kobzev di Twitter.

Navalny, yang mendapatkan rawatan di Jerman setelah mendakwa dirinya diracun, ditahan di Moscow sebaik tiba pada Ahad petang. Beliau ditahan di sebuah balai polis di kota Khimki.

Mahkamah Khimki Moscow memutuskan beliau akan terus ditahan kerana melanggar tempoh parol yang berakhir pada 29 Disember tahun lalu.

Navalny, 44, yang lantang mengkritik Presiden Vladimir Putin, jatuh sakit pada Ogos lalu ketika dalam penerbangan ke Moscow. Sebaik pesawat membuat pendaratan kecemasan di bandar Omsk, Siberia, beliau dirawat di sebuah hospital Rusia selama dua hari sebelum dihantar ke Berlin untuk rawatan lanjut.

Pegawai Jerman berkata menerusi beberapa ujian makmal mendapati Navalny diracun dengan agen saraf Novichok.

Pihak berkuasa Rusia menafikan terbabit dalam kes tersebut dan berpendapat senjata kimia tidak dikembangkan atau dihasilkan sejak senjata kimia terakhir dimusnahkan pada 2017, seperti disah dan diperakui oleh Pertubuhan Penghapusan Senjata Kimia.

Leave a Reply

%d bloggers like this: