‘Frontliner’ cedera parah di kaki, langgar tembok pembahagi jalan


ACP Adzli Abu Shah (kiri)

23/01/2021 06:29 PM

ALOR SETAR, 23 Jan — Seorang Pembantu Pegawai Perubatan cedera parah di bahagian kaki selepas terlanggar tembok pembahagi jalan berhampiran jambatan Kuala Lesong di Jalan Kuala Lesong-Bukit Selambau dekat Sungai Petani, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Adzli Abu Shah berkata kejadian pada 6.30 pagi itu berlaku ketika mangsa berusia 43 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC dalam perjalanan untuk bertugas di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani.



“Mangsa dari arah Felda Teloi Kanan, Kuala Ketil menghala ke arah Sungai Petani, apabila tiba di lokasi kemalangan berhampiran jambatan Kuala Lesong, mangsa telah melanggar tembok pembahagi jalan yang berada di tengah laluan jalan.

“Mangsa tidak sempat menekan brek dan terus merempuh pembahagi jalan tersebut dan impak pelanggaran yang kuat menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di kaki (tempurung lutut retak) dan kini dirawat di HSAH,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Difahamkan tembok pembahagi jalan berkenaan dipasang bagi menutup laluan yang memisahkan sempadan Baling dan Kuala Muda berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kedah bermula semalam.

Adzli berkata polis telah melawat tempat kejadian dan mendapati terdapat papan tanda ‘AWAS’ dari arah Baling serta papan tanda pemakluman ‘Jalan Ditutup’ diletakkan lebih kurang satu kilometer sebelum tembok itu.



“Selain itu, terdapat lima lagi papan tanda ‘AWAS’ sepanjang jalan sebelum sampai di kepala jambatan yang ditutup, tapi pencahayaan di lokasi kemalangan adalah gelap, namun siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Beliau berkata lokasi kejadian adalah jalan lurus dengan garisan tengah berkembar, namun tiada lampu jalan.

Sejak awal pagi tadi, kejadian kemalangan membabitkan petugas barisan hadapan itu tular di laman sosial dan mengundang simpati dalam kalangan warga net.

Sementara itu, seorang penduduk yang ditemui di lokasi kejadian Mohd Ghazali Nayan, 45, meminta supaya lampu dipasang di kawasan tembok pembahagi jalan itu bagi mengelakkan kejadian sama berulang.



“Kita sebagai rakyat tidak halang usaha pihak berkuasa menutup laluan sebab PKP, tapi lampu kecemasan tiada sehingga menyebabkan kemalangan di kawasan itu,” katanya.

A Frontliner Died From Lethargy But At Hospitals, Life Goes On; “We’re Walking Zombies”, Says Doctor



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button