CapBay kumpul pendanaan AS$20 juta dalam Pusingan Siri A

25/01/2021 01:40 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jan — CapBay, platform pembiayaan rakan setara (P2P) dan kewangan rantaian bekalan pelbagai bank Malaysia, mengumpulkan AS$20 juta (AS$1=RM4.04) dalam pusingan Siri A untuk memperkukuh lagi kemampuan teknologi dan pendanaannya.

Pendanaan itu adalah daripada penyokong semulanya KK Fund, sebuah firma modal teroka yang berpangkalan di Singapura, serta pelabur Malaysia termasuk beberapa pelabur budiman dengan kepakaran dalam bidang kewangan, teknologi dan syarikat pemula niaga yang semakin berkembang, menurut CapBay dan KK Fund dalam kenyataan bersama hari ini.

Pada Disember 2020, CapBay (Bay Group Holdings Sdn Bhd) mencapai kejayaan penting apabila membiayai RM100 juta bagi seluruh 500 nota pelaburan di platform P2Pnya sejak ia dilancarkan pada Mac 2020.

Ia sekali gus menjadi syarikat pemula niaga teknologi kewangan terpantas yang mencapai RM100 juta menerusi pembiayaan P2P.

“Pencapaian ini merupakan sebahagian rekod prestasi kukuh CapBay Group dalam menyediakan kewangan rantaian bekalan, dengan menyalurkan lebih RM800 juta di seluruh 10,000 transaksi merangkumi perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” menurut kedua-dua pihak.

CapBay juga memperluas peluang pelaburan untuk pelabur P2P di platformnya melalui perkongsian strategik dengan institusi terkemuka dan menjadi syarikat teknologi kewangan terpilih pertama dan satu-satunya untuk menjadi sebahagian daripada Program Pembiayaan Vendor Telekom Malaysia Bhd, PERINTIS, pada September 2020.

“Perkongsian strategik di antara institusi terkemuka dengan CapBay membolehkan pelabur P2P melabur bersama pelabur institusi dalam kelas aset yang lebih selamat,” menurutnya.

 

Leave a Reply