Jun Hoong akan sertai Piala Dunia Terjun FINA


Cheong Jun Hoong

25/01/2021 05:50 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jan — Bekas juara dunia Cheong Jun Hoong merupakan antara penerjun Malaysia yang akan mengambil bahagian dalam Kejohanan Piala Dunia Terjun FINA 2021 yang akan berlangsung dari 18-23 April di Pusat Akuatik Tokyo, Jepun.

Setiausaha Agung Persekutuan Renang Malaysia (MAS) Mae Chen berkata, selain pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu, MAS juga akan menghantar skuad yang kuat ke Piala Dunia itu, yang menjadi kejohanan sesi kelayakan terakhir ke Olimpik Tokyo 2020 pada Julai.



Beliau berkata, pemilihan terakhir penerjun lain untuk kejohanan itu akan ditentukan Ketua Jurulatih Terjun Kebangsaan Christian Brooker.

“Skuad terjun negara pada masa kini, sedang menjalani latihan secara dalam kuarantin sejak beberapa minggu lepas di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil,” katanya kepada Bernama hari ini.

“Semua yang berlatih di Bukit Jalil telahpun menjalani ujian swab COVID-19 sebelum meneruskan latihan mereka, dan kesemua mereka disahkan negatif,” kata Mae Chen.

Jon Hoong telah menyertai Kejohanan Terjun Antarabanga Malaysia Secara Maya yang pertama di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil, bulan lepas, dan itu merupakan kejohanannya yang pertama sejak Mei 2018.



Penerjun kelahiran Perak itu kali terakhir menyertai kejohanan pada pusingan akhir Siri Terjun Dunia di Kazan, Rusia pada Mei 2018, di mana beliau memenangi pingat gangsa dalam acara 10 meter platform seirama bersama seorang lagi penerjun negara Pandalela Rinong.

Sejak itu Jun Hoong telah menjalani rehabilitasi sejak menarik diri daripada Sukan Asia Indonesia pada Ogos 2018 untuk menjalani pembedahan kecederaan lututnya.

Sementara itu Mae Chen mendedahkan yang MAS tidak bercadang untuk menghantar penerjun negara untuk meneruskan latihan mereka di China sebelum penyertaan di Sukan Olimpik Tokyo 2020, disebabkan peningkatan mendadak COVID-19, sejak beberapa bulan lepas.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button