Siasatan menyeluruh kes kematian dalam lokap – Ketua Polis Kedah

Ketua Polis Kedah Datuk Hasanuddin Hassan

05/02/2021 12:48 AM

ALOR SETAR, 4 Feb — Polis sedang melakukan siasatan menyeluruh berhubung kes kematian orang kena tangkap (OKT) yang juga bekas sukarelawan polis ketika dalam tahanan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan, 28 Jan lepas.

Ketua Polis Kedah Datuk Hasanuddin Hassan berkata siasatan dijalankan bagi mengenal pasti sama ada wujud elemen kekerasan, kecuaian, salah laku pegawai dan anggota yang terlibat selain kecederaan yang mungkin berlaku akibat pergelutan semasa tangkapan.

“Sehingga kini 47 orang saksi telah dipanggil dan dirakam percakapan. Mereka adalah ahli keluarga, pegawai dan anggota polis yang terlibat dalam tangkapan serta pegawai dan anggota polis yang menjaga lokap.

“(Turut dirakam percakapan) OKT lain yang ada bersama di dalam lokap semasa arwah ditahan dan juga pegawai perubatan daripada Hospital Yan dan Hospital Sultanah Bahiyah, di sini,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Beliau berkata OKT itu, Muhammad Afis Ahmad ditahan pada 27 Jan lepas di bawah Seksyen 379 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan berkaitan kes curi dan menyamar sebagai anggota polis.

Menurut Hasanuddin sewaktu tangkapan dibuat arwah telah bertindak agresif sehingga berlaku pergelutan dengan anggota polis, yang menyebabkan dia mengalami kecederaan di bahagian muka, telinga dan dahi.

“Pada pukul 12.30 tengah malam 28 Jan arwah didapati tidak sedarkan diri dan dihantar ke Hospital Yan. Pada pukul 1.10 pagi arwah telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang bertugas,” katanya.

Beliau berkata pada 29 Jan, bedah siasat telah dijalankan oleh pakar pathologi Hospital Sultanah Bahiyah, yang mengenal pasti punca kematian disebabkan oleh ‘blunt force trauma’ di bahagian kepala, bagaimana pun laporan penuh bedah siasat itu belum diperolehi.

Katanya arwah sebelum ini pernah berkhidmat sebagai sukarelawan polis di IPD Kuala Muda antara 2013 dan 2014 sebelum ditamatkan perkhidmatan kerana terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

“Arwah juga sebelum ini pernah ditangkap sebanyak lapan kali atas kesalahan dadah dan jenayah serta pernah dikenakan hukuman oleh mahkamah… pihak polis akan menjalankan siasatan secara telus dan profesional untuk mengenal pasti punca kematian,” katanya.

Leave a Reply