Israel mengaku salah bunuh 7 staf agensi bantuan di Gaza

Oleh – Syeikh Baran


Israel mengaku salah bunuh 7 staf agensi bantuan di Gaza
Konvoi ambulans membawa mayat staf WCK yang terkorban tiba di lintasan Rafah untuk menyeberangi Mesir pada Rabu lalu. Foto Agensi

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu akhirnya mengakui kesilapan tentera mereka membunuh kakitangan agensi bantuan ketika banyak pihak menggesa rejim Tel Aviv mendedahkan butiran lanjut laporan siasatan mereka secara telus.

Laporan insiden yang meragut tujuh nyawa staf World Central Kitchen (WCK) menemui kesilapan serius dan pelanggaran prosedur oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF) yang membawa kepada pemecatan dua pegawai tinggi dan seorang komander kanan menerima teguran rasmi.



Ketua Mekanisme Penilaian dan Pencari Fakta IDF, Yoav Har-Even berkata, pasukan terlibat serangan itu kononnya tidak dapat melihat dengan jelas logo WCK pada bumbung kenderaan tersebut kerana keadaan gelap.

“Mereka menyangka terdapat pejuang Hamas dalam salah sebuah daripada tiga kereta berkenaan. Serangan kemudiannya dilancarkan. Tindakan melulu itu melanggar prosedur operasi standard IDF,” ujarnya.

Jelasnya lagi, siasatan itu mendapati tentera Israel tersilap membuat pengecaman suspek hingga ia bertindak melancarkan dron menyasarkan tiga kenderaan WCK pada lewat malam Isnin.

Insiden pembunuhan ke atas tujuh staf agensi bantuan termasuk warga Britain, Australia dan Poland itu telah mengundang kemarahan komuniti global sepanjang minggu lalu.



Bagi menutup kesilapan memalukan itu, rejim Tel Aviv mengumumkan ia akan memberikan akses sementara kepada penghantaran bantuan ke kawasan utara Gaza melalui lintasan sempadan Erez yang kini diancam kebuluran.

Keputusan itu dibuat beberapa jam selepas sekutu kuatnya, Amerika Syarikat (AS) memberi amaran tentang potensi untuk melakukan anjakan paradigma terhadap dasar mereka berhubung kempen pengeboman ganas Israel di Genting Gaza. – AFP

Sumber – SINAR HARIAN




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading