Ketua polis Seoul didakwa

Oleh – Syeikh Baran


Ketua polis Seoul didakwa
Kim Kwang-ho. – Foto Agensi/Yonhap

Ketua Polis Seoul didakwa atas tuduhan melakukan kecuaian ketika bertugas sehingga menyebabkan insiden rempuhan maut pada sambutan Halloween, kira-kira dua tahun lalu.

Insiden pada 29 Oktober 2022 itu mengorbankan kira-kira 160 orang yang sedang meraikan sambutan Halloween di Itaewon.



Menurut Pejabat Pendakwa Daerah Barat Seoul, tertuduh Kim Kwang-ho yang merupakan Ketua Agensi Polis Metropolitan Seoul, didakwa atas tuduhan kecuaian profesional yang mengakibatkan kecederaan atau kematian.

Ketua polis Seoul didakwa
Anggota penyelamat di lokasi insiden rempuhan ketika perayaan Halloween di Seoul. – Foto fail Reuters

“Sebagai ketua polis, tertuduh tidak mengambil langkah yang perlu, seperti mengerahkan pasukan polis yang mencukupi dan memastikan perintah serta penyeliaan yang teratur pada hari insiden berlaku.

“Langkah itu tidak diambil walaupun tertuduh dapat meramalkan risiko bahaya yang boleh berlaku daripada kesesakan di kawasan hiburan berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Berdasarkan kenyataan itu, Kwang-ho bersama ketua Balai Polis Yongsan dan ketua pejabat Wad Yongsan yang kini dalam perbicaraan, secara kolektif dituduh menyebabkan kematian 158 individu dan kecederaan kepada 312 mangsa akibat kecuaian profesional.



Pada malam kejadian itu, puluhan ribu orang, kebanyakannya berusia antara 20 hingga 30-an menikmati perayaan percutian pasca pandemik COVID-19 di Itaewon.

Namun detik gembira itu bertukar tragedi apabila orang ramai mula memasuki laluan sempit antara bar dan kelab, sehingga mengakibatkan ratusan maut akibat kesesakan serta rempuhan.

Susulan itu, Kwang-ho, dibawa ke muka pengadilan tanpa ditahan sebelum ini.

Ketua polis Seoul didakwa
Mangsa di Itaewon diberikan rawatan awal. – Foto fail AFP

Januari tahun lalu, Kwang-ho, dan 22 pegawai polis, penyelamat dan pejabat daerah dibawa kepada pihak pendakwaan oleh pasukan penyiasat polis khas atas dakwaan pembabitan mereka dalam kelemahan gerak kerja kerajaan terhadap insiden terbabit.



Sebelum ini, pihak pendakwaan meneruskan perbicaraan ketua balai polis di daerah Yongsan di Seoul, termasuk Itaewon, dan pejabat Wad Yongsan, namun tidak mendakwa Kwang-ho selama lebih setahun. – AFP

Sumber – Berita Harian


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading