Gerakan mahu bersama PN sediakan ‘Kerajaan Rakyat’

11/02/2021 06:16 PM

KUALA LUMPUR, 11 Feb — Parti Gerakan yang menjadi parti politik terbaharu menyertai Perikatan Nasional (PN), mahu bersama-sama dengan parti-parti dalam gabungan itu bagi menyediakan kerajaan rakyat, yang mengutamakan kesejahteraan dan kesederhanaan.

Presidennya Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, antara tugas utama Gerakan sebagai rakan PN adalah bekerjasama dengan jentera kerajaan dalam usaha menangani COVID-19, termasuk pelan pemulihan pasca pandemik, sebagaimana amanah utama yang sering dibangkitkan oleh komponen-komponen dalam PN, iaitu kebajikan rakyat dan pembangunan ekonomi yang seiring dengannya.

“Seperti yang telah diumumkan oleh Pengerusi Perikatan Nasional, Parti Gerakan kini merupakan sebahagian daripada gabungan demokrasi, iaitu Perikatan Nasional.

“Sebagai sebuah parti politik yang berada dalam persada politik negara selama lebih lima dekad, yang ditubuhkan dengan prinsip demokrasi dan taat setia, Gerakan sentiasa sedia untuk menggalas tanggungjawab dalam arus perdana politik tanah air,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Parti Gerakan hari ini secara rasmi menganggotai gabungan PN, dengan surat penerimaan kemasukan Gerakan diserahkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi PN kepada Lau.

Gabungan PN ditubuhkan pada tahun lepas, bermula dengan kerjasama antara Bersatu dan PAS di Semenanjung dan kemudian diperluaskan di Sabah melibatkan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP).

Mengulas lanjut, Lau berkata beliau percaya pentingnya perpaduan dalam politik dan sebagai sebuah negara yang berbilang kaum, bahasa dan wilayah, Gerakan percaya bahawa perpaduan dalam politik penting dalam menjana persefahaman serta memacu kegemilangan negara ke hadapan.

Beliau berkata dalam beberapa siri perbincangan dengan pemimpin Bersatu dan PAS, agenda politik mereka berteraskan kebajikan rakyat.

“Kebajikan rakyat adalah matlamat utama kerajaan semasa. Ia jelas melalui pelan-pelan pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan oleh Perdana Menteri sebelum ini. Berbillion ringgit disuntik sebagai bantuan kepada rakyat jelata dalam menghadapi pandemik COVID-19. Gerakan mengucapkan terima kasih dan menghargai ketekunan kerajaan dalam memerangi pandemik COVID-19,” katanya.

Beliau berkata Gerakan juga berjanji akan mewakili konsep kesederhanaan dan majmuk dalam gabungan PN.

Jelasnya, Gerakan sentiasa bersedia untuk mewakili suara rakyat tanpa mengira perbezaan kaum, bahasa, keturunan dan wilayah, serta mengutamakan kestabilan politik demi pembangunan agenda rakyat.

“Kami menghormati kepercayaan ini dan menjunjung tinggi dengan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi,” katanya.

Lau turut mengarahkan Jawatankuasa Pusat, Badan Perhubungan Negeri dan Bahagian Gerakan untuk menyalurkan segala bentuk kepakaran, gerak keahlian, berjumpa dengan orang ramai dan membantu menyampaikan agenda PN yang berpaksikan ‘demi rakyat’ kepada semua.

Leave a Reply