Demokrasi Berparlimen Malaysia Kena Kembiri?

Demokrasi Berparlimen Malaysia Mandul

JANGAN MANDULKAN AMALAN DEMOKRASI BERPARLIMEN

1. Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia memandang serius kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkenaan keputusan Jemaah Menteri yang bersetuju sidang Parlimen ditangguhkan hingga 1 Ogos depan bagi membolehkan kerajaan memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha melawan COVID-19.

2. Keputusan ini bercanggah dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.

3. Malah Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, perkara itu termaktub dalam subperenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

4. Malah tegas Pengelola Bijaya Diraja lagi bahawa “…tanggapan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan proklamasi darurat menghalang Parlimen untuk bersidang adalah tidak tepat.”

5. Bagi Pemuda UMNO, Parlimen harus dibenarkan bersidang dengan SOP ketat dalam situasi Covid-19, bagi membolehkan keberkesanan mekanisme semak dan imbang buat Kerajaan sebagaimana tuntutan dan amalan demokrasi!

6. Rakyat tentu sekali sukar untuk menerima alasan penangguhan Parlimen yang dibuat Kerajaan bahawa sebahagian besar anggota parlimen merupakan kumpulan berisiko dijangkiti Covid-19.

7. Sedangkan pasar malam, pusat-pusat membeli belah, kedai makan, restoran hatta sekolah rendah dan menengah juga telah dibenarkan beroperasi dalam tempoh darurat. Malah proses vaksinisasi juga sudah dimulakan terhadap Ahli-Ahli Parlimen.

8. Kerajaan tidak seharusnya dilihat takut dan cuba untuk memandulkan institusi demokrasi dengan menafikan suara dan mandat rakyat kepada Ahli-Ahli Parlimen untuk berbahas, meluluskan rang undang-undang serta membawa isu dan masalah mereka di Parlimen.

9. Justeru, Pemuda UMNO sekali lagi memohon agar Kerajaan mengkaji semula keputusan untuk menangguhkan Parlimen dan menghormati titah nasihat Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk mengadakan sidang Parlimen dalam tempoh Darurat!

DR Asyraf Wajdi Dusuki 
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

3 March 2021

#TitahTuankuDemiRakyat
#PemudaJurubicaraRakyat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *