Anggota polis maut ketika kejar suspek

GEORGE TOWN, 17 April — Anggota Balai Polis Dato Keramat Konstabel Muhammad Iqbal Mazlan meninggal dunia, selepas terlibat dalam kemalangan ketika sedang mengejar penjenayah di Jalan Utama di sini, awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata dalam kejadian itu, Muhammad Iqbal, 20, bersama dua lagi anggota polis sedang menjalankan rondaan cegah jenayah pada pukul 1 pagi di kawasan Jalan Scotland, sebelum melihat seorang lelaki menunggang sebuah motosikal dalam keadaan mencurigakan.

“Tiga anggota yang masing-masing menunggang motosikal itu meminta lelaki berkenaan untuk memberhentikan, motosikalnya namun suspek terus memecut dan menunggang dalam keadaan berbahaya, dengan melakukan aksi ‘zig zag’ bagi mengelak ditahan polis.

“Mereka mengejar lelaki itu sehingga ke Jalan Utama. Muhammad Iqbal cuba menghampiri motosikal lelaki terbabit, namun suspek melanggar motosikalnya sehingga mangsa terjatuh dan kepalanya terhantuk di tebing jalan. Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Pulau Pinang di sini malam ini.



Mengulas lanjut Soffian berkata, suspek berusia 35 tahun itu ditahan di lokasi kemalangan dan ujian air kencing didapati positif dadah.

“Suspek mempunyai enam rekod lampau berkaitan dadah dan lima kes jenayah. Lelaki itu akan direman esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh, serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” katanya.

Jenazah Muhammad Iqbal yang telah bertugas dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 18 bulan lepas, akan dibawa balik ke kampung halamannya di Kampung Air Tawar, Besut, Terengganu untuk dikebumikan.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham adalah Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Manan.

Sementara itu di KUALA LUMPUR, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador, dalam akaun Facebook rasminya menzahirkan ucapan takziah buat ahli keluarga Allahyarham Muhammad Iqbal.

“Saya dan isteri mengucapkan salam takziah buat seluruh keluarga Allahyarham. Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman,” katanya.

— BERNAMA

Polis Langkawi gagalkan cubaan seludup masuk dadah, ubat batuk

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker