Anak Rahiza menggeletar kena ambil adik, ibu sudah tiada

Oleh – Syeikh Baran


Anak Rahiza menggeletar kena ambil adik, ibu sudah tiada
NOR Rahiza (kiri) bersama Nurfarahimi (kanan) yang terkorban dalam nahas dua helikopter TLDM terhempas di Pangkalan TLDM Lumut hari ini.-FOTO MEDIA SOSIAL

“Kawan-kawan ma (ibu) suruh ambil adik, mereka beritahu ma sudah tiada”.

Itu yang diberitahu anak sulung anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Bintara Muda Nor Rahiza Anuar, 39, kepada guru di Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Al-Hijrah, Teluk Muroh ketika mahu mengambil adik bongsunya untuk dibawa pulang.



Nor Rahiza merupakan seorang daripada 10 mangsa yang terkorban dalam nahas dua helikopter TLDM terhempas semasa menjalani raptai Perbarisan Hari TLDM di Pangkalan TLDM, Lumut hari ini.

Menurut guru yang mahu dikenali sebagai Ila, 38, kedatangan remaja perempuan sekitar pukul 10.30 pagi itu menimbulkan tanda tanya kerana pihak pusat asuhan tidak menerima sebarang panggilan telefon daripada ibu bapa remaja itu untuk mengambil Nur Qistina Afia, 6.

Malah katanya, keadaan remaja itu yang dilihat menggeletar telah menimbulkan kehairanan dalam kalangan guru.

“Apabila ditanya, dia beritahu yang rakan-rakan ibunya suruh ambil adik untuk dibawa pulang. Ketika itu dia beritahu dalam keadaan menggeletar dan sebak.



“Kami tertanya-tanya juga apa maksud ‘ma’ sudah tiada dan mahu hubungi ibunya (Nor Rahiza), tapi belum sempat hubungi, kami terbaca berita kejadian helikopter terhempas di Lumut,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, kali terakhir dia melihat Nor Rahiza semalam ketika wanita itu menghantar anaknya ke pusat asuhan berkenaan.

“Saya dan cikgu-cikgu lain masih terkejut, kami terbayang-bayang senyuman arwah ketika datang ke sini semalam,” katanya.

Terdahulu, TLDM mengesahkan akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dua helikopter terhempas sehingga menyebabkan 10 kru maut, pagi tadi.



TLDM dalam kenyataan berkata, pihaknya mengesahkan sebuah Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) TLDM dan sebuah helikopter FENNEC TLDM terhempas semasa raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut pada 9.32 pagi tadi.

Katanya, insiden itu melibatkan seramai 10 orang iaitu masing-masing tujuh kru HOM TLDM dan tiga kru Fennec TLDM.

Sumber – KOSMO! ONLINE.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button