Khalwat Sebab Gaduh Dengan Isteri

Alor Setar: Seorang lelaki memberi alasan bergaduh dengan isterinya lalu menumpang di rumah rakan wanitanya sebelum mereka dicekup berkhalwat di sebuah rumah di taman perumahan di Teluk Bagan, Tandop, di sini, tengah malam tadi.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik), Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, mereka dicekup berkhalwat pada 12.10 tengah malam oleh sepasukan anggota dari Pejabat Agama Daerah Kota Setar yang diketuai Abdul Rahim Abu.

Beliau berkata, serbuan dilakukan berdasarkan maklumat awam yang diterima pihaknya berhubung kegiatan maksiat di rumah wanita berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati mereka gagal mengemukakan sebarang bukti mempunyai hubungan mahram atau suami isteri dan disyaki melakukan maksiat.

“Lelaki berusia 35 tahun itu bekerja sebagai penjawat awam serta dalam proses bercerai dengan isterinya dan mempunyai tiga anak.

“Wanita itu pula masih bujang dan juga penjawat awam berusia 29 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Radzi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014.

Beliau berkata, sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

metro

Ahli Parlimen UMNO Tidak Perlu Membodek



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button