Keputusan rayuan Siti Bainun sabitan salah abai, aniaya Bella esok

Oleh – Syeikh Baran


Keputusan rayuan Siti Bainun sabitan salah abai, aniaya Bella esok
Siti Bainun

Keputusan rayuan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali bagi mengetepikan sabitan bersalah di Mahkamah Tinggi di sini, atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down dikenali Bella, akan diketahui pada Khamis.

Keputusan itu akan diputuskan Hakim, Datuk Noorin Badaruddin pada jam 10 pagi.



Jika mahkamah menerima dua rayuan itu, Siti Bainun akan dibebaskan daripada sabitan berkenaan serta-merta.

Bagaimanapun, jika mahkamah mendapati sebaliknya, wanita berusia 32 tahun itu kekal dikenakan hukuman penjara 12 tahun.

Memandangkan dia dituduh atas dua pertuduhan, ada juga kemungkinan Siti Bainun kekal bersalah atas salah satu kes sahaja.

Ia bukan pengakhiran buat wanita itu, kerana dia berpeluang untuk membuat rayuan terakhir di Mahkamah Rayuan, Putrajaya.



Pada 3 Mei 2023, Mahkamah Sesyen di sini mendapati wanita yang aktif dalam kerja-kerja kebajikan itu bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella.

Bagi kesalahan pertama iaitu mengabaikan Bella, dia dihukum penjara 10 tahun sementara kes menganiaya, 12 tahun bagi pertuduhan kedua.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh hukum itu.

Hakim, Izralizam Sanusi turut memerintah tertuduh menandatangani bon berkelakuan baik dalam tempoh lima tahun dengan seorang penjamin termasuk cagaran RM5,000 sebagai tambahan hukuman.



Dia juga perlu melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam dalam masa enam bulan selepas tamat hukuman penjara dengan syarat-syarat yang dikenakan.

Siti Bainun dibawa ke Penjara Kajang selepas mahkamah menolak permohonannya untuk menangguhkan hukuman penjara itu.

Pada 20 Ogos 2021, Siti Bainun didakwa sebagai orang yang dipertanggungjawab untuk menjaga kanak-kanak perempuan sindrom Down berusia 13 tahun, telah mengabaikan iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit rumah kondominium di Seksyen 10, Wangsa Maju di sini antara bulan Februari dan Jun 2021.



Pada 25 November tahun sama, Pengasas Rumah Bonda itu didakwa lagi di mahkamah sama atas pertuduhan menganiaya remaja itu di lokasi dan tarikh sama, mengikut peruntukan seksyen yang serupa.

Kes yang mengejutkan negara itu mendapat perhatian sebahagian besar masyarakat termasuk badan pertubuhan bukan kerajaan yang memperjuangkan nasib kanak-kanak seperti Bella.

Pada prosiding hujahan yang berlangsung pada 7 Mac lalu, peguam, Haijan Omar, Nur A’minahtul Mardiah Md Nor dan Nurul Hafidzah Hassan hadir bagi mewakili Siti Bainun selaku perayu.

Sementara pihak pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria dan Analia Kamaruddin pula sebagai responden.



Sebelum ini mahkamah menetapkan 24 April lalu untuk keputusan rayuan namun tarikh tersebut dilapangkan dan ditangguhkan sehingga ke Khamis.

Sumber – SINAR HARIAN


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading