Nelayan dan Orang Ramai Dinasihatkan Berwaspada

 

Orang ramai yang tinggal di pesisiran pantai dan sungai serta nelayan tidak digalakkan turun ke laut pada waktu petang ketika ini kerana dikhuatiri berlaku ribut petir.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah berkata, ia kerana negara sedang mengalami monsun barat daya yang dijangka berakhir pada akhir bulan ini.

Menurut Muhammad Helmi, fenomena garis badai turut berlaku dalam tempoh itu terutama di kawasan pantai sebelum negara beralih kepada peralihan monsun bulan depan.

“Kita sentiasa promosi aplikasi myCuaca yang boleh dimuat turun di telefon pintar kerana pelbagai amaran dikeluarkan di situ.

 




“Jadi, nelayan misalnya yang hendak turun ke laut perlu cakna elemen cuaca dan berpandukan amaran angin kencang.

“Ini kerana apabila berada di luar, mereka kemungkinan terputus dengan komunikasi dan akses kepada telefon pintar,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Shelf of Sustenance (SOS) di METMalaysia, di sini, hari ini.

Sempena majlis itu, Muhammad Helmi turut menyampaikan sumbangan kepada tiga penerima sumbangan terdiri daripada kakitangan METMalaysia yang berada dalam golongan B40.

Muhammad Helmi berkata, dalam tempoh peralihan monsun pada bulan depan, Kuala Lumpur dan Selangor dijangka berdepan hujan lebat berserta ribut petir.

Katanya, METMalaysia bagaimanapun tidak menjangkakan monsun timur laut luar biasa yang dijangka bermula pada awal November depan.

“Ada kemungkinan berlaku banjir kilat, pokok dan dahan tumbang serta bumbung terbang yang biasa terjadi dalam tempoh peralihan monsun.

“Pertengahan November hingga Januari, negara dilanda monsun timur. Akhir Januari hingga Mac pula fasa kering dan ada kalanya METMalaysia akan lakukan operasi pembenihan hujan,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Helmi berkata, MET Malaysia masih berbincang dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mengenai langkah boleh dilakukan bagi memberi amaran dan pemberitahuan ancaman tsunami kepada orang ramai terutama kawasan berisiko.

“Kami memang sudah berbincang dengan syarikat pembekal perkhidmatan telekomunikasi untuk menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) kepada kumpulan sasar.

“Bagaimanapun, ia sukar dilakukan kerana kosnya tinggi malah syarikat terbabit perlu mengaktifkan pengesan bagi mengesan nombor telefon di kawasan amaran.

“Sekarang, kami masih berbincang dengan Nadma apa boleh dilakukan berkaitan itu (amaran tsunami),” katanya.

metro

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker