Israel tangkap saudara tahanan Palestin

 

Pasukan keselamatan Israel menahan enam saudara tahanan Palestin yang meloloskan diri dari penjara Gilboa, utara Israel Isnin lalu selepas gagal mengesan keenam-enam mereka, lapor akhbar Arab News semalam.

 



Menurut laporan, Israel melancarkan gerakan memburu kesemua tahanan tersebut secara besar-besaran dengan menggunakan dron, sekatan jalan raya dan misi ketenteraan di Jenin, lokasi yang menjadi kediaman sebilangan besar tahanan tersebut, namun gagal menjejaki mereka.

Susulan itu, pasukan keselamatan semalam telah menahan dua saudara lelaki kepada tahanan yang mengetuai misi melarikan diri tersebut, Mahmoud Ardah serta saudara yang lain.

 



Selain itu, dua saudara lelaki tahanan yang bernama Mohammad Ardah turut ditangkap serta bapa kepada seorang lagi tahanan juga diberkas.

Penahanan tersebut menimbulkan kemarahan di Tebing Barat yang ditakluki Israel dengan banyak pihak menyelar tindakan bersifat mafia itu.

“Menahan seseorang ahli keluarga untuk memburu ahli keluarga yang lain adalah satu taktik gaya mafia,” kata Pengarah Israel dan Palestin bagi Pemerhati Hak Asasi Manusia, Omar Shakir.

Sementara itu, seorang ahli Knesset dari Senarai Arab Bersatu, Sami Shehadeh, memberitahu Arab News bahawa reaksi tentera Israel terhadap insiden tahanan Palestin yang lolos itu adalah di luar batasan.

“Israel melakukan pelbagai tindakan ganas untuk membalas dendam terhadap tahanan-tahanan tersebut dan ahli keluarga mereka.



“Ini adalah hukuman yang kolektif. Justeru, kami mengecam tindakan tersebut dan menggesa mereka untuk menghentikan segera tindakan itu terhadap penduduk Palestin,” katanya.

Pada Isnin lepas, enam tahanan Palestin berjaya meloloskan diri dari sebuah penjara kawalan ketat Israel dalam apa yang disifatkan Perdana Menteri, Naftali Bennet sebagai insiden serius.

Mereka meloloskan diri dengan cara menggali lubang dari lantai sel penjara sehingga ke luar tembok penjara. – Agensi

Tawanan Palestin Lolos Penjara Guna Sudu

Leave a Reply