Ritual Mandi Bogel Untuk Panggil Hujan

 

Enam kanak-kanak perempuan di India dilaporkan telah diarak dalam keadaan berbogel dalam satu upacara keagamaan dipercayai dilakukan untuk menurunkan hujan, lapor Badan Penyiaran British (BBC), hari ini.

Kejadian itu berlaku di sebuah kampung yang terletak di wilayah Bundelkhand, negeri Madhya Pradesh yang kini dilanda musim kemarau yang teruk.

Video perarakan itu menjadi tular di media sosial yang memaparkan keenam-enam kanak-kanak berkenaan berjalan dalam keadaan berbogel sambil memegang kayu di atas bahu mereka dengan seekor katak diikat padanya.

Penduduk tempatan percaya bahawa ritual itu akan menenangkan dewa hujan dan menurunkan hujan ke wilayah tersebut.

Suruhanjaya Nasional India untuk Perlindungan Hak Kanak-kanak telah meminta laporan dari pentadbiran daerah Damoh, lokasi di mana kampung itu terletak.

Polis Madhya Pradesh menyatakan bahawa mereka tidak menerima laporan rasmi terhadap peristiwa itu, namun memberitahu bahwa satu siasatan telah dimulakan.

“Tindakan akan diambil sekiranya kami mendapati kanak-kanak itu dipaksa berjalan dalam keadaan berbogel,” kata Pegawai Polis Damoh, DR Teniwar.

Sementara itu, menurut pentadbiran daerah Damoh, ibu bapa kanak-kanak perempuan yang terlibat telah bersetuju dengan upacara tersebut, bahkan turut serta dalam ritual itu. – Agensi



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button