Lelaki maut ditetak adik ipar selepas berbuka puasa

Simunjan: Lelaki maut selepas ditetak adik iparnya yang kurang waras menggunakan senjata tajam di Kampung Lubuk Punggur di sini, malam tadi.

Dalam kejadian sekitar jam 7.40 malam itu, mangsa dikenali sebagai Sapuwan Mohamat berusia 62 tahun ditemukan anaknya dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah di tepi jalan berhampiran kediaman mereka.

Ketua Polis Daerah Simunjan, Deputi Superintendan Wong Tee Kue berkata, anak mangsa membuat satu laporan polis pada 12 tengah malam tadi, berhubung kejadian.



“Berdasarkan maklumat daripada pengadu, mangsa ditemui terbaring di tepi jalan dalam keadaan cedera parah dipercayai ditetak oleh suspek berusia 43 tahun yang disyaki kurang waras dengan menggunakan senjata tajam.

“Siasatan awal polis mendapati kejadian itu berlaku selepas waktu berbuka puasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, mangsa yang berada dalam keadaan kritikal ketika itu dihantar ke Klinik Kesihatan Samarahan oleh anaknya namun disahkan meninggal dunia akibat parah di bahagian belakang dan kepala.

“Suspek berjaya ditahan oleh polis selang beberapa jam kemudian.



“Kami juga merampas sebilah parang dipercayai digunakan dalam kes pembunuhan itu,” katanya.

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada Unit Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk dibedah siasat.

“Permohonan reman terhadap suspek dibuat di Mahkamah Majistret Simunjan hari ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button