Sembunyi mayat bayi, wanita Nepal ditahan

 

Alasan sakit kaki untuk dibawa ke klinik nyata tidak dapat menutup perbuatan seorang wanita warga Nepal.

Wanita tersebut menyembunyikan kelahiran bayinya berusia dua hari yang ditemukan mati di asrama pekerja asing di sebuah kilang di sini.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Arshad Abu berkata pihaknya menerima laporan kejadian pada 9.10 pagi semalam daripada pekerja kilang tersebut, sebelum bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan siasatan.

“Tiba di tempat kejadian, pihak polis menemui mayat bayi lelaki cukup sifat yang masih bertali pusat di dalam plastik hitam di atas katil asrama berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Kata beliau hasil siasatan awal mendapati, suspek berusia 28 tahun itu telah meminta pemandu van kilang untuk membawanya ke klinik panel kilang pada Isnin lepas (20 Sept) sekitar 1.30 pagi atas alasan sakit kaki.

“Mengesyaki suspek baru sahaja lepas keguguran, pihak klinik tersebut merujuk wanita tersebut ke Hospital Alor Gajah, sebelum kemudiannya dibawa ke Hospital Melaka.

Susulan itu, suspek ditahan sekitar 12 tengah hari semalam dan kini mendapatkan rawatan di Hospital Melaka, manakala mayat bayi itu telah dibawa ke bahagian Forensik hospital itu untuk dibedah siasat.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi dan pihak polis juga sedang mengesan teman lelaki suspek yang juga merupakan warganegara Nepal, untuk membantu siasatan,” katanya.

 BERNAMA

Leave a Reply