22 barangan disenarai Skim Harga Maksimum Musim Perayaan

PUTRAJAYA: Sebanyak 22 jenis barangan ditetapkan dijual pada harga maksimum melalui Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa (HRP) 2022 bermula 26 April hingga 6 Mei ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata ia membabitkan barangan bagi kategori hasil laut, barangan kering, daging lembu dan kerbau serta sayuran.

Beliau berkata, turut dikuatkuasakan dalam SHMMP HRP 2022 adalah enam barangan harga terkawal bagi penentuan harga ayam dan telur ayam yang ditetapkan sebelum ini.



Katanya, pelaksanaan Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam itu bermula sejak 5 Februari dan berkuat kuasa sehingga 5 Jun sebagai langkah menstabilkan harga ayam dan telur ayam serta memastikan keberadaan bekalannya di pasaran.

“Jumlah barangan harga terkawal bagi pelaksanaan Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam serta SHMMP HRP2022 adalah membabitkan 28 jenis barangan,” katanya pada sidang media Pengumuman Harga Maksimum SHMPP HRP 2022 di sini, hari ini.

Senarai barangan itu membabitkan daging lembu tempatan (kecuali bahagian batang pinang), daging lembu import (harga maksimum di Sarawak sahaja), daging kerbau import (Harga maksimum di Semenanjung, Sabah dan Labuan sahaja).

Ikan kembung termasuk ikan mabung (berat antara lapan hingga 12 ekor setiap kilogram (kg) ) ikan selayang (berat antara lapan hingga 12 ekor setiap kg), ikan aya atau tongkol (berat antara seekor hingga dua ekor setiap kg), ikan Demudok atau Sagai/ Cermin/ Cupak (Sabah sahaja).



Alexander berkata sayuran-sayuran pula membabitkan tomato, cili merah, kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing), kacang panjang, terung panjang, timun, halia tua import, bawang merah besar import, bawang besar Holland, bawang putih (China), ubi Kentang Import (China), cili kering, kacang tanah, kelapa biji (borong sahaja), dan kelapa parut (runcit sahaja).

“Senarai harga barangan harga terkawal bagi penentuan harga ayam dan telur ayam adalah seperti ayam hidup, ayam standard (disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal atau mana-mana bahagiannya), ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal),” katanya.

Menurutnya, bagi senarai telur adalah telur ayam gred A (berat antara 65 gram hingga 69.9 gram sebiji), telur ayam gred B (berat antara 60 gram hingga 64.9 gram sebiji) dan telur ayam gred C (berat antara 55 gram hingga 59.9 gram sebiji).

Alexander menegaskan, penentuan harga barangan bagi negeri-negeri dibuat mengikut kesesuaian harga pasaran semasa dan mengambil kira faktor perubahan harga, khususnya bagi barangan import yang dipengaruhi oleh harga daripada negara asal, perubahan kadar tukaran mata wang dan peningkatan kos utiliti penternak.



Katanya, KPDNHEP menentukan harga maksimum pengeluar, borong dan runcit berdasarkan kepada maklumat harga yang dikenal pasti termasuk berdasarkan pemantauan harga di semua daerah di seluruh negara sepanjang 2021 sehingga April tahun ini.

Beliau berkata, turut diambil kira adalah pandangan pelbagai agensi Kerajaan yang berkaitan dan perbincangan dengan pengeluar, pengimport, pembekal dan pemborong barangan terbabit.

Sementara itu, Alexander berkata, anggota penguat kuasa KPDNHEP akan berada di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan setiap hari bagi memastikan pematuhan oleh peniaga sepanjang tempoh pelaksanaan skim itu.

Pada masa sama, beliau berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan bekerjasama membuat pemantauan untuk memastikan bekalan barangan mencukupi dan memastikan harga di pasaran adalah berpatutan dan seterusnya memastikan keberadaan bekalan di pasaran.



“Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan bawah skim ini.

“Peniaga yang melakukan kesalahan akan dikenakan tindakan bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti seperti kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum,” katanya.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button