SPRM tahan 16 pengarah syarikat berkait MITRA

 

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 16 pengarah syarikat.

Mereka disyaki terlibat penyelewengan geran peruntukan dikeluarkan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).

Sumber SPRM berkata kesemua suspek ditahan dalam satu operasi besar-besaran di sekitar Lembah Klang bermula semalam.

Sumber itu menyebut dianggarkan puluhan juta dilesapkan oleh kumpulan ini yang pada asalnya memohon geran peruntukan MITRA bagi melaksanakan program-program sosioekonomi masyarakat India.

Menurut sumber, kes ini akan merangkumi semua bentuk permohonan dan perbelanjaan peruntukan geran yang telah disalurkan oleh MITRA bermula 2018 hingga kini.

“Kita menganggarkan hampir 60 peratus daripada peruntukan geran yang diterima oleh syarikat, orang perseorangan dan yayasan bagi tujuan pelaksanaan program pembangunan sosioekonomi tidak sampai kepada kumpulan sasaran yang sepatutnya.

“Peruntukan ini dipohon daripada MITRA dan kemudian diselewengkan untuk kepentingan individu tertentu,” kata sumber itu.

Sumber menjelaskan tiada program dibuat serta tiada pernyataan perbelanjaan dapat dikemukakan oleh pihak berkuasa.

“MITRA telah distruktur semula pada 2018 semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

“Namun pada April 2020 hingga kini, MITRA diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan Negara dan dianggarkan MITRA memperoleh bajet RM100 juta setahun,” katanya.

Sumber berkata kesemua suspek berumur lingkungan 24 hingga 68 tahun itu akan dihadapkan Ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini bagi proses reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan kesemua penahanan berkenaan.

“Siasatan dibuat di bawah Seksyen 16 (a) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009,” katanya.

BERNAMA

Leave a Reply