China beri amaran ketegangan memuncak di Asia Pasifik

China beri amaran ketegangan memuncak di Asia Pasifik
Presiden China, Xi Jinping (kiri) dan Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden (kanan). – Foto AFP

China beri amaran ketegangan memuncak di Asia Pasifik

WELLINGTON: Presiden China, Xi Jinping, memberi amaran bahawa ketegangan era Perang Dingin di Asia Pasifik mungkin kembali di Asia Pasifik.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerjasama dipertingkatkan dalam usaha pemulihan pandemik dan menangani perubahan iklim, di sebalik ketegangan semakin meruncing bersama Amerika Syarikat (AS) dalam isu membabitkan Taiwan.

Jinping berkata semua negara di rantau berkenaan harus berganding bahu untuk mendepani cabaran secara bersama, selepas memeterai perjanjian mengejut dengan Washington berhubung isu perubahan iklim.



“Cubaan untuk mewujudkan ideologi atau membentuk dasar geopolitik secara berkumpulan akan gagal.

“Rantau Asia Pasifik tidak boleh dan tidak sewajarnya kembali terjerumus dalam konfrontasi dan perpecahan era Perang Dingin,” katanya pada persidangan perniagaan secara maya sempena Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

Jinping turut menggesa supaya jurang imunisasi yang wujud pada peringkat global ketika ini dirapatkan, dengan memastikan bekalan pelalian COVID-19 lebih mudah diperoleh dalam kalangan negara membangun.

“Kita perlu terjemahkan kesepakatan bahawa vaksin ialah bekalan awam global kepada tindakan konkrit bagi menjamin aspek pengagihan secara adil dan saksama,” katanya.



Beliau berkata kerjasama dalam penyelidikan, pengeluaran, ujian dan perakuan bersama terhadap bekalan vaksin wajar dipertingkatkan, sekali gus membebaskan dunia dari belenggu pandemik serta merintis pemulihan ekonomi secepat mungkin.

China dilaporkan berkata pihaknya sudah mencapai persetujuan bersama AS di sidang kemuncak Glasgow mengenai perubahan iklim, iaitu antara aspek utama dalam pentadbiran Presiden AS, Joe Biden, yang dikatakan mempunyai potensi kerjasama.

Jinping tidak menyebut perjanjian bersama dengan AS itu secara langsung, namun berkata semua pihak boleh merintis usaha ke arah pembangunan secara lestari, rendah karbon dan hijau.

Sebelum ini, Beijing bertindak meningkatkan kegiatan ketenteraan berdekatan Taiwan, yang dianggap sebagai menggugat demokrasi kepulauan itu, termasuk dengan pencerobohan ruang udara dan lautan pada awal Oktober lalu.



China juga menuntut hampir semua kawasan di Laut China Selatan, yang menjadi laluan utama perdagangan kapal setiap tahun bernilai trilion dolar, sekali gus menolak tuntutan bertindih Brunei, Malaysia, Filipina, Taiwan dan Vietnam.

Di sebalik perkembangan itu, AS, Britain dan Australia pada September lalu mengumumkan penubuhan gabungan baharu, AUKUS, yang menyaksikan Australia bakal memperoleh kapal selam dipacu kuasa nuklear menggunakan teknologi AS. – AFP

China beri amaran ketegangan memuncak di Asia Pasifik


Disyorkan Untuk Anda :





Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading