Kebuluran skala penuh berlaku di Gaza

Oleh – Syeikh Baran


Kebuluran skala penuh berlaku di Gaza
Penduduk Palestin menyerbu pusat bantuan yang dikendalikan oleh PBB di Deir al-Balah pada 28 Oktober 2023 selepas Israel mengarahkan mereka berpindah ke selatan Gaza. – AFP

Program Makanan Sedunia (WFP) memberi amaran bahawa utara Semenanjung Gaza mengalami ‘kebuluran berskala penuh’ yang pantas ­merebak ke seluruh wilayah ­Palestin berkenaan selepas hampir tujuh bulan perang berterusan, lapor saluran berita CNN kelmarin.

Pengarah Eksekutif WFP, Cindy McCain menyuarakan kebimbangan tersebut menerusi rakaman program temu bual terbitan NBC News, Meet the Press.



“Setiap kali anda mempunyai konflik seperti ini dan emosi memuncak, perkara yang terjadi dalam perang berlaku, kebuluran ini berlaku.

“Apa yang saya boleh nyatakan adalah kebuluran berskala penuh berlaku di utara dan ia pantas merebak ke selatan Gaza,” katanya.

Walaupun kenyataan McCain bukan berpandukan pengisytiharan rasmi kebuluran oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), katanya, situasi tersebut berdasarkan apa yang dilihat di lapangan oleh petugas-petugas WFP.

“Senario sekarang amat menakutkan. Sukar untuk dilihat dan sukar untuk didengari,” ujarnya.



Tambah McCain, di sebalik desakan berulang kali WFP supaya gencatan senjata dilaksanakan dan akses tanpa halangan diberikan oleh Israel ke Gaza, misi penyampaian bantuan ke wilayah Palestin itu amat sukar dilakukan.

Agensi-agensi hak asasi manusia sudah telah lama memberi amaran berhubung krisis kemanusiaan yang semakin merun­cing di Semenanjung Gaza akibat serangan tentera Israel sejak 7 Oktober tahun lalu.

Lebih 34,600 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Rejim Zionis di Gaza setakat 1 Mei lalu, demikian menurut Kementerian Kesihatan Gaza.

Sepanjang perang Gaza berlaku, lebih 1.9 juta rakyat Palestin turut kehilangan tempat tinggal dan terpaksa menjadi pelarian di tanah air sendiri, demikian me­nurut PBB.



Sebahagian besar daripada mereka terpaksa berlindung di khemah-khemah yang sesak tanpa akses kepada sanitasi atau makanan.

Kementerian Kesihatan Gaza menyatakan, keseluruhan populasi di Gaza seramai lebih 2.2 juta orang kini kelaparan dan berdepan kebuluran dengan sekurang-kurangnya 30 kanak-kanak mati akibat kekurangan zat dan dehidrasi.

Kebimbangan masyarakat antarabangsa turut meningkat berhubung kedegilan Rejim Zio­nis mahu melancarkan serangan darat ke atas bandar Rafah yang bersempadan dengan Mesir.

Hamas ketika sesi rundingan di Kaherah hujung minggu lalu menegaskan pendirian mencapai perjanjian pembebasan tebusan yang akan menyaksikan Israel menamatkan serangan dan berundur dari Semenanjung Gaza.



Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sekali lagi menolak syarat tersebut.

“Israel tidak akan sesekali bersetuju dengan permintaan Hamas yang bermaksud kami perlu menyerah diri. Kami akan terus berperang sehingga semua matlamat (menghapuskan Hamas) tercapai,” tegasnya

Dalam pada itu, seorang pegawai Amerika Syarikat berkata, bilangan khemah terhad sedang didirikan di selatan Gaza untuk tujuan perlindungan sementara orang awam Palestin yang akan dipindahkan keluar dari Rafah sekiranya berlaku pencerobohan Rejim Zionis.

Namun, pegawai berkenaan turut menegaskan bahawa khemah-khemah tersebut jauh daripada menghampiri bilangan diperlukan untuk menempatkan lebih sejuta penduduk Palestin yang memerlukan perlindungan.



“Tiada petunjuk bahawa mereka akan dapat atau bersedia (menceroboh Rafah),” kata pegawai sama yang merujuk kepada tentera Israel.

“Jelas mereka (Israel) tidak bersedia untuk menjamin dan memenuhi keperluan seramai 1.5 juta pelarian Palestin (di Rafah),” tambahnya. – AGENSI

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button