Pengambilan untung heret turun Bursa Malaysia

 

Bursa Malaysia dibuka rendah dalam dagangan awal hari ini berikutan aktiviti pengambilan untung yang sederhana dan prestasi bercampur-campur di peringkat global, kata peniaga.

Pada 9.05 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 1.45 mata kepada 1,543.59 selepas indeks utama ditutup pada 1,545.04 semalam.

Indeks itu dibuka rendah 0.31 mata kepada 1,544.73.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 136 berbanding 106, manakala182 kaunter tidak berubah, 1,887 tidak diniagakan dan 53 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 81.02 juta unit bernilai RM41.57 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikan berkata berikutan kebimbangan terhadap Omicron yang muncul semula, sentimen ekuiti global terjejas.

“Pasaran tempatan dijangka menjejaki prestasi bercampur-campur di peringkat global, selepas berbeza dengan penurunan serantau semalam,” katanya.

Syarikat itu berkata, dengan kebimbangan yang mengukuh terhadap varian Omicron COVID-19, peniaga mungkin memberi tumpuan kepada saham-saham berkaitan penjagaan kesihatan atau sarung tangan bagi dagangan dalam masa terdekat.

Sementara itu, peniaga disaran memburu saham-saham berkaitan teknologi dan telco berikutan idea perniagaan mengenai generasi kelima.

Dalam saham wajaran tinggi, Maybank dan PBBank turun dua sen masing-masing kepada RM8.13 dan RM4.17, PChem dan CIMB masing-masing tidak berubah pada RM8.89 dan RM5.43, manakala IHH meraih lima sen kepada RM6.80.

Bagi saham aktif, KNM dan Vinvest naik setengah sen masing-masing kepada 15 sen dan 43.5 sen, Theta menokok empat sen kepada 90.5 sen, manakala Compugt tidak berubah pada 1.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas Syariah meningkat 2.47 mata kepada 12,056.71 dan FBM ACE menokok 6.83 mata kepada 6,369.80.

Indeks FBM Emas pula rendah 2.72 mata kepada 11,192.49,Indeks FBMT 100 turun 9.22 mata kepada 10,886.72,dan FBM 70 jatuh 7.59 mata kepada 14,217.49.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.05 mata kepada 202.13, Indeks Perladangan meningkat 1.21 mata kepada 6,545.99, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan jatuh 24.31 mata kepada 15,596.74.

-BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button