Pegawai Kanan SPRM mengaku tidak salah pecah amanah

 

Seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sebelum ini direman berhubung kehilangan wang berjumlah RM25 juta, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan pecah amanah terhadap wang itu.

Tertuduh Shahrum Nizam Baharuddin ,40, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai seorang Penjawat Awam iaitu Penguasa Kanan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Gred P44 dan dalam kapasiti tersebut, telah diamanahkan dengan penguasaan harta iaitu matawang AS Dollar berjumlah AS$6.94 juta telah melakukan pecah amanah jenayah berkaitan harta tersebut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bilik Ketua Cawangan Tindakan Khas (CTK) Aras 14, Blok C, Ibu Pejabat SPRM Putrajaya antara 17 Disember 2018 dan 9 April 2019 yang didakwa mengikut seksyen 409 Kanun Keseksaan.



Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari dua tahun dan tidak lebih dari 20 tahun dan sebat, dan bolehlah juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan 18 Februari ini untuk sebutan semula kes.

Pada September tahun lalu, media melaporkan Polis Diraja Malaysia akan memanggil tiga pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sebelum ini direman enam hari oleh SPRM bagi melengkapkan siasatan berhubung kehilangan wang berjumlah AS$6 juta (RM25 juta).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan, berkata pihaknya juga turut akan memanggil pemilik wang berkenaan, bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid.

Menurut Abd. Jalil semua mereka akan dipanggil bagi melengkapkan siasatan dan mereka dipanggil berdasarkan siasatan oleh pegawai penyiasat.

Sebelum itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan berkata PDRM sudah membuka satu kertas siasatan berhubung satu laporan polis yang diterima berkaitan isu berkenaan.

Hamzah berkata, kertas siasatan dibuka di bawah klasifikasi Kertas Enkuiri Polis (KEP).

– K! ONLINE

Leave a Reply