Gubah wang haram RM2.7 juta, warga emas mengaku tidak bersalah

 

Seorang warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini, atas 21 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM2.7 juta, dari 2015 hingga 2020.

Tertuduh, Lai Ching Wai, 64, yang juga bekas kontraktor membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Diana Md Razali selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin.

Menurut pertuduhan, Ching Wai memindahkan wang hasil daripada aktiviti wang haram dari akaun simpanannya berjumlah RM2.7 juta antara 2 November 2020 hingga 11 November 2020.

Tertuduh juga menggunakan akaun simpanannya sebagai peralatan kesalahan berkaitan perlakuan aktiviti haram ke beberapa akaun bank lain antara 21 Ogos 2015 hingga 19 Ogos 2020.

Kesalahan dilakukan di beberapa cawangan bank di daerah Seremban.



Justeru, tertuduh melakukan satu kesalahan mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum mengikut Subseksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan tidak melebihi 15 tahun dan dikenakan denda tidak kurang daripada lima kali ganda atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwara Raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong manakala tertuduh diwakili Peguam S Karthigesan.

Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM7,000 terhadap tertuduh dan tarikh sebutan semula pada 15 Februari depan untuk serahan dokumen.

metro

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button