Pelajar Jepun cedera ditikam ketika sedang duduki peperiksaan

Beberapa pelajar sekolah menengah yang sedang menduduki peperiksaan kelayakan ke universiti di sini cedera hari ini, dalam serangan menggunakan pisau oleh rakan sekolah mereka.

Menurut laporan dari stesen siaran awam, NHK, tiga pelajar yang cedera itu berada dalam keadaan sedar selepas rakan sekolah menikam mereka dengan objek tajam ketika sedang berkumpul untuk mengambil peperiksaan berkenaan pada waktu pagi.

Suspek yang adalah seorang pelajar sekolah menengah berusia 17 tahun bagaimanapun sudah ditahan, kata akhbar Asahi.

Kira-kira setengah juta pelajar sekolah menengah di seluruh Jepun sedang mengambil peperiksaan kemasukan tahunan ke universiti hujung minggu ini di seluruh negara.

Sementara itu, Jabatan Polis Metropolitan Tokyo, ketika dihubungi tidak dapat memberikan perincian kes atau mengesahkan sebarang penahanan.

Jenayah kekerasan jarang berlaku di Jepun, namun beberapa serangan membabitkan pisau pernah dilaporkan sebelum ini.

Pada Oktober, seorang lelaki yang memakai kostum Joker Batman menikam belasan orang awam di dalam gerabak kereta api di Tokyo menyebabkan ada dalam kalangan penumpang melarikan diri melalui tingkap.

Beberapa bulan sebelum itu, seorang lelaki mencederakan beberapa orang dalam serangan pisau ke atas kereta api komuter Tokyo.

– REUTERS

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker