Mesyuarat PPBM Johor dijangka esok atau lusa

 

Mesyuarat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor membabitkan 26 ketua bahagian parti itu bagi membincangkan perkara berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, dijangka diadakan esok atau lusa.

Ketua BERSATU Bahagian Kulai, Tosrin Jarvanthi, berkata mesyuarat yang akan dipengerusikan oleh Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Pengerusi BERSATU Johor itu, dijangka memutuskan butiran penting mengenai PRN.

Katanya, sejak Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan pada Sabtu lalu, pucuk pimpinan parti belum memohon nama calon-calon secara rasmi.

Bagaimanapun, katanya, butiran mesyuarat termasuk lokasi belum dimuktamadkan.

“Setakat ini, kami belum menerima arahan atau makluman rasmi daripada pucuk pimpinan parti untuk kemukakan nama calon PRN.

“Jadi, kita menunggu amanat yang akan diberikan Presiden BERSATU termasuk soal pembahagian kerusi. Selepas itu, barulah semua ketua bahagian akan mengadakan mesyuarat di peringkat bahagian masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program penyerahan bantuan Tahun Baru Cina di Dewan Raya Putra, Bandar Putra di sini, hari ini.

Pada program itu, Tosrin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri menyampaikan sumbangan barangan makanan kepada 150 warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas Tionghua daripada Yayasan Sejahtera Majlis Perbandaran Kulai (MPKu).

Dalam pada itu, Tosrin berkata, beliau bersedia untuk bertanding mempertahankan kerusi DUN Bukit Permai yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), jika pucuk pimpinan masih memerlukan khidmatnya.

“Insya-Allah jika parti masih perlukan khidmat saya sebagai calon, saya akan pertahankan jawatan dan terus berkhidmat sekiranya diberikan peluang,” katanya.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button