Puteri UMNO Kelantan sokong putus hubungan PAS negeri

 

Kira-kira 25,000 ahli Puteri UMNO Kelantan sebulat suara menyokong pendirian UMNO negeri untuk memutuskan hubungan dengan PAS Kelantan.

Ketua Puteri UMNO negeri, Marzuani Ardila Ariffin, berkata pihaknya menghormati keputusan PAS Kelantan yang walak kepada keputusan PAS Pusat.

“Pendirian tegas ini dibuat tanpa menidakkan hak dan kepentingan rakyat, malah UMNO Kelantan turut bersedia untuk memberi kerjasama kepada PAS Kelantan dalam apa jua yang berkaitan dengan kesejahteraan rakyat di negeri ini khususnya.

“Apa jua yang berlaku, pintu rundingan tidak pernah tertutup. Budi bicara, kepentingan ummah menjadi panduan untuk mencapai sesuatu yang lebih baik,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Mengulas lanjut, Marzuani Ardila menjelaskan dalam meneruskan perjuangan parti, satu keputusan perlu dibuat untuk menentukan hala tuju dan gerak kerja parti dengan lebih baik.

Kelmarin, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dilaporkan berkata UMNO Kelantan membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan PAS negeri, berkuat kuasa serta-merta.

Beliau dipetik berkata, keputusan itu dibuat selepas pertemuan antara Biro Politik UMNO Kelantan dengan Dewan Harian PAS Kelantan gagal mencari kata putus berhubung kerjasama kedua-dua parti dalam Muafakat Nasional (MN).

– BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button