Jangan terpengaruh dengan produk pelangsingan

 

Individu yang mengalami masalah berat badan berlebihan atau obesiti dinasihatkan supaya tidak terpengaruh dengan produk-produk pelangsi­ngan yang dijual di media sosial.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Epidemiologist, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar sebalik­nya berkata, individu berkenaan perlu merujuk masalah kesihatan mereka kepada doktor yang bertauliah atau fasiliti kesihatan yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan (KKM).

Kata Zainal Ariffin, ketika ini terdapat ratusan produk pe­langsingan yang dijual ter­utamanya di kedai tidak berdaftar dan secara dalam talian.

Namun katanya, kebanyakan ubat itu tidak berdaftar dengan KKM dan bahan yang digunakan juga adalah diragui serta berisiko kepada pengguna.

“Jangan mudah percaya kepada­ ubat pelangsingan yang dijual di kedai dan kini sedang berle­luasa dalam talian. Kita tidak tahu apa kandungannya dan kebanyakan produk ini tidak mempunyai kelulusan KKM.

“Saranan saya, kepada mereka yang mengalami masalah obesiti, sila rujuk kepada doktor atau pakar yang bertauliah dengan KKM,” katanya.

Beliau mengulas laporan Kosmo! kelmarin mengenai 6.9 juta wanita di negara ini mengalami masalah obesiti dan berisiko menghidapi penyakit tiga serangkai.

Tambah Zainal Ariffin, terdapat pelbagai penyakit kronik yang bakal ‘menunggu’ sekiranya individu salah mengambil ubat atau bahan yang tidak disyorkan oleh agensi bertauliah seperti KKM.

Mengulas lanjut Zainal ber­kata, selain pembedahan, terdapat beberapa lagi cara yang boleh diamalkan untuk mengurangkan berat badan serta ingin kekal berat badan ideal.

kosmo

Leave a Reply