Label ‘kluster mahkamah’ hanya naratif PH, PN

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak pernah berkait tentang sebarang kes mahkamah.

Sebaliknya, beliau berkata, istilah kluster mahkamah yang sering disebut oleh Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) adalah naratif untuk memperdaya undi rakyat sekali lagi.

“Yakinilah PRN Johor sama seperti PRN Melaka tidak pernah berkait tentang apa-apa kes mahkamah.

“Apakah PRN Melaka telah memberi kesan kepada mahkamah seperti yang mereka turut jaja ketika itu?



“Apa yang pasti PRN Melaka telah memberi kesan kepada PH/PN yang ‘originnya’ berbohong dan menipu untuk menang pilihan raya,”katanya menerusi satu hantaran Facebook pada Sabtu.

Beliau berkata, rakyat perlu memahami bahawa PH dan PN menciptakan tindakan mahkamah terhadap pimpinan BN sejurus mereka berkuasa.

“Merekalah yang mengenakan tindakan mahkamah terhadap seteru politik selepas sahaja menang PRU14. Dan sejurus itu juga mereka ke sana ke sini menjaja pemimpin BN sebagai kluster mahkamah,” katanya.

Tambah beliau, apa yang diusahakan BN adalah sama seperti PRN Melaka, iaitu berkait usaha mengembalikan kestabilan, kemakmuran dan kemajuan.



 

Sinar Harian

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button