Hentakan di kepala punca kematian penghuni asrama rumah anak yatim

KUANTAN – Punca kematian kanak-kanak lelakiberusia 11 tahun yang menghuni di sebuah rumah kebajikan untuk anak yatim dan asnaf di sini, berpunca daripada hentakan di kepala.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, ia berdasarkan hasil laporan bedah siasat mangsa manakala kertas siasatan berhubung kes yang melibatkan suspek remaja berumur 16 tahun sedang dilengkapkan.

“Ada laporan sebelum ini menyebut mangsa dicekik dan sebagainya namun itu bukan punca kematian. Suspek juga tidak mempunyai rekod lampau dan masih direman hingga 27 Mac ini.



“Siasatan kes melibatkan kanak-kanak jadi tidak banyak benda yang boleh dikongsikan dan siasatan masih berjalan,” katanya dalam sidang media selepas Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-215 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini, pada Jumaat yang turut dihadiri Timbalannya Datuk Mohd Yusri Hassan Basri.

Beliau berkata demikian ketika ditanya perkembangan kes melibatkan kanak-kanak itu yang disahkan maut di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) pada Ahad lepas.

Sebelum ini, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun maut, dipercayai selepas disepak, dicekik dan dihempas oleh suspek, dalam kejadian yang didakwa berpunca akibat wang RM4.

Dalam perkembangan lain, Ramli memaklumkan siasatan kes pembunuhan melibatkan pengamal perubatan yang ditemukan maut disyaki ditembak di dalam sebuah rumah berhampiran Bukit Rangin Perdana 2, di sini pada 4 April tahun lepas masih diteruskan.



Katanya, tiada petunjuk baharu ditemukan dan mana-mana pihak yang mempunyai maklumat untuk berkongsi dengan polis diminta tampil berbuat demikian.

Sinar Harian

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button