Ahmad Said nafi jual tanah kerajaan kepada Vincent Tan

 

Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said menafikan tuduhan beliau menyerahkan tanah milk kerajaan di Pulau Redang kepada jutawan, Tan Sri Vincent Tan.

“Tidak benar tuduhan itu,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN Kijal berkenaan sambil menegaskan beliau juga tidak pernah berjumpa dengan jutawan terbabit.

Pada sidang media di Kemaman, Ahmad berkata, sepanjang menjadi Menteri Besar, beliau tidak pernah menyerahkan mana-mana tanah milik kerajaan negeri kepada Tan seperti dakwaan seorang individu di laman sosial Facebook (FB).

“Saya telah membuat carian dengan Pejabat Tanah Daerah dan saya rasa tidak ada pun tanah kerajaan yang kita serahkan kepada jutawan itu, melainkan jika dia membeli tanah di situ dan disenaraikan nama kepada orang perseorangan.

“Saya pun tak tahu tujuan individu itu berbuat demikian (tuduhan). Sama ada atas dasar politik atau sebaliknya, saya tidak tahu. Bagaimanapun saya akan ambil tindakan undang-undang terhadap individu terbabit dalam tempoh terdekat,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Chukai.

Bekas Menteri Besar berkata, beliau juga sudah berbincang dengan peguam dan akan mengambil tindakan saman fitnah terhadap individu yang membuat tuduhan berkenaan.

Terdahulu, Ahmad dalam hantaran di FB beliau pada Khamis lalu, memberi tempoh 14 hari kepada pemilik akaun Facebook berkenaan untuk memohon maaf dan memadam hantaran mengenai dakwaan terbabit yang disifatkannya sebagai fitnah dan tidak benar sama sekali.

“Saya memberi tempoh sehingga 14 hari untuk penama memohon maaf dan seterusnya memadam ‘posting’ berkenaan. Selepas tempoh 14 hari, tamat tindakan undang-undang akan diambil kerana memfitnah.

“Saya meminta kepada pihak berkenaan, usahlah mereka cerita seperti ini dengan membuat tuduhan yang tidak betul semata-mata mahu mencari publisiti memandangkan PRU15 yang semakin hampir.

Berpolitiklah secara matang dan rasional tanpa rekaan cerita fitnah yang tidak benar,” katanya.

BHOnline

Leave a Reply