Panjut buluh tradisional masih dicari, imbau kenangan lama

Seberang Perak: Biarpun dibuat daripada buluh tanpa tambahan warna, corak atau kekemasan dilihat kurang menarik berbanding pelita gaya moden ketika ini, panjut tradisi masih kekal relavan dan mendapat permintaan ramai.

Pembuat panjut buluh, Ahmad Pirdaus Yusop, 41, berkata, panjut tradisional daripada ruas buluh masih mendapat permintaan biarpun pelita sedia ada dengan pilihan dekorasi lebih moden banyak di pasaran ketika ini.

Menurutnya, dia menghasilkan panjut tradisional itu menggunakan buluh kuning atau buluh betung setiap tiba Ramadan dan Aidilfitri sejak lebih tiga tahun lalu.



“Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu saya tidak mengambil tempahan dan tahun ini menerima tempahan hampir 200 panjut buluh. Tempahan kali ini meningkat sedikit berbanding sebelum ini mungkin kerana kita boleh beraya.

“Saya melakukan kerja seorang diri saja bermula dari proses mencari dan membersihkan buluh, memotong dan menebuk lubang pada ruas serta membuat sumbu panjut,” katanya ketika ditemui di Felcra Changkat Lada, di sini.

Ahmad Pirdaus berkata, proses pembuatan panjut buluh membabitkan proses rumit dan memerlukan minat serta kesabaran tinggi.

Katanya, dia mencari buluh di hutan sekitar Pasir Salak dan proses berkenaan agak rumit kerana perlu membawa beberapa buluh dengan berjalan kaki selain proses menebuk buluh yang tebal.



“Panjut buluh yang dihasilkan ada dua jenis iaitu ada enam dan sembilan sumbu bersaiz 0.6 meter dan lebih. Dalam sehari saya boleh menghasilkan 20 panjut buluh.

“Panjut buluh dihasilkan adalah tradisional tanpa dekorasi atau tambahan warna dan kekemasan kerana pelanggan lebih suka begini kerana ia lebih membangkitkan suasana lebih tradisional dan mempunyai nilai tersendiri,” katanya.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, tiga panjut memerlukan satu liter diesel dan sebatang panjut buluh boleh menyala selama dua hari dengan minyak yang penuh.

Katanya, panjut buluh lebih tahan lama dan boleh digunakan selama tiga tahun dengan penjagaan yang betul seperti tidak menyimpan minyak di dalam buluh dan perlu membilasnya dengan air sebelum disimpan dengan baik.



“Panjut buluh mempunyai enam sumbu berharga RM20, manakala sembilan sumbu pula RM30 dengan penambahan RM5 untuk pemegangnya.

“Melihat panjut buluh tradisional masih mendapat permintaan menjadikan saya gembira kerana tradisi kita masih kekal dan tidak terus tenggelam ditelan arus zaman,” katanya sambil memberitahu pelanggannya dari dalam dan luar daerah Perak Tengah.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button