Ringgit rendah dalam dagangan awal

KUALA LUMPUR: Ringgit diniagakan rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi awal Rabu dalam persekitaran sentimen pasaran yang lebih berhati-hati terhadap pendekatan Rizab Persekutuan (Fed) AS menaikkan kadar faedahnya dalam mesyuarat akan datang pada awal Mei ini, kata penganalisis.

Pada 9.02 pagi, mata wang tempatan susut kepada 4.2725/2775 berbanding dolar AS daripada 4.2505/2515 pada akhir urus niaga Isnin.

Pasaran ditutup semalam bersempena cuti umum Nuzul Al-Quran.



Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata Presiden Fed St Louis, James Bullard telah membayangkan mengenai kemungkinan kenaikan kadar faedah sebanyak 75 mata asas.

“Ini telah menyebabkan Indeks Dolar AS melonjak kepada 100.987 mata dan sememangnya melebihi paras 100 mata selama lima hari urus niaga berturut-turut.

“Dolar AS/ringgit telah mencecah paras rintangannya pada RM4.2762 dan berdasarkan petunjuk teknikal, ringgit telah berada pada kedudukan terlebih jual. Berikutan itu, ringgit sepatutnya pada sekitar RM4.27 pada masa ini,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Rakan Pengurusan SPI, Stephen Innes menjangkakan ringgit akan kekal dalam mod bertahan berikutan satu lagi peningkatan hasil Perbendaharaan AS selain tiada sebarang perubahan penggubal dasar China bagi melonggarkan sekatan pergerakan susulan COVID-19.



Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1236/1275 daripada 3.1228/1240 pada Isnin namun meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.3046/3087 daripada 3.3569/3579.

Ringgit rendah berbanding pound Britain kepada 5.5624/5689 daripada 5.5303/5316 serta susut berbanding euro kepada 4.6130/6184 daripada 4.5867/5878.

BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button