Industri vape perlu lebih masa untuk patuhi piawaian

Pakkawit Anantaya/EyeEm/Getty Images

MALAYSIAN Vape Industry Advocacy (MVIA) memohon Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melanjutkan tempoh pematuhan piawaian SIRIM bagi peranti vape.

Permohonan itu dibuat selepas KPDNHEP mewartakan Perintah Perihal Dagangan (Pensijilan dan Penandaan) Peranti Rokok Elektronik 2022 di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 yang mewajibkan semua peranti vape menjalani ujian dan memohon pensijilan SIRIM selewat-lewatnya pada 3 Ogos 2022.

Presiden MVIA Rizani Zakaria berkata, MVIA percaya pengumuman memperkenalkan piawaian untuk peranti vape adalah langkah wajar bagi melindungi keselamatan pengguna ketika menggunakan peranti itu.

“Bagaimanapun, tempoh yang diberikan kepada industri sangat singkat. Lazimnya, keseluruhan proses untuk satu produk menjalani ujian dan pensijilan adalah antara tiga hingga empat bulan tanpa gangguan.



“Seterusnya, pemain industri perlu melalui proses pelabelan mandatori yang juga mengambil masa yang lama. Justeru, kami berharap diberikan tempoh lebih panjang dan mencukupi sehingga akhir tahun untuk industri bersedia mematuhinya,” katanya.

Sementara itu, MVIA berpendapat terdapat keperluan menyemak dan mengemaskini semula piawaian berkenaan.

“Piawaian peranti vape yang diterima pakai dan diwartakan di Malaysia dibangunkan pada 2018/2019. Bagaimanapun, peranti vape berevolusi dan ditambah baik dengan ketara melalui teknologi dan inovasi dalam industri.

“Melihat kepada landskap ini, kami percaya piawaian sedia ada perlu disemak dan dikemaskini semula bagi memastikan piawaian yang diterima pakai di Malaysia selaras dengan amalan dan piawaian antarabangsa,” katanya.



Selain itu, Rizani berharap Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) segera mengeluarkan garis panduan dan kawal selia mengenai kandungan produk cecair vape memandangkan terdapat kelewatan dalam membentangkan rang undang-undang di parlimen untuk mengawal selia produk vape.

“Walaupun kerajaan baru sahaja mewartakan piawaian peranti, tiada peraturan mengenai cecair vape. KKM pula mengumumkan bahawa rang undang-undang akan dibentangkan di Parlimen menjelang Julai tahun ini untuk mengawal selia cecair vape. Sementara itu, produk sedia ada akan terus dijual di pasaran.

“Oleh itu, kerajaan diharap dapat mengeluarkan garis panduan dan kawal selia mengenai kandungan untuk cecair vape terutama bagi produk yang mengandungi nikotin, termasuk tahap nikotin yang dibenarkan dan meminda Akta Racun 1952 bagi membolehkan cecair vape nikotin dikawal selia sementara menunggu rang undang-undang baharu daripada Kementerian Kesihatan,” katanya.

Garis panduan ini penting bagi memastikan keselamatan pengguna vape terus dilindungi kerana pemain industri vape perlu mematuhi piawaian keselamatan dan kualiti untuk cecair vape bernikotin.



“Pada masa sama, kerajaan juga boleh mengutip hasil cukai daripada produk berkenaan,” kata Rizaini.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button