‘Terjah’ rumah, kolej kediaman penuntut ponteng kelas

Shah Alam: Meskipun tegas, pensyarah kanan di Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, di sini, enggan menghukum penuntut yang tidak hadir ke kelasnya.

Sebaliknya, Hisyam Che Mat, 49, memilih mengambil pendekatan lebih lembut iaitu dengan ‘menziarahi’ rumah penuntut terbabit bagi memberi kejutan buat mereka.

Kisah pensyarah subjek Rekreasi untuk orang kurang upaya (OKU) dan Pemprograman Perkhidmatan Rekreasi Luar itu mendapat perhatian selepas Hisyam memuat naik videonya menerjah ke rumah sewa dan kolej kediaman untuk bertemu sendiri dengan penuntut terbabit.



“Saya mengajar sejak 23 tahun lalu dan kalau diikutkan sudah buat begitu (ke rumah sewa dan kolej kediaman penuntut) sejak awal lagi, seingat saya bermula tahun 2000 sehingga 2003.

“Sebenarnya, saya terikut cara didikan salah seorang pensyarah saya di Universiti Putra Malaysia (UPM) ketika belajar dulu malah saya ikut dia ‘terjah’ ke rumah penuntut yang tidak datang ke kelas.

“Jadi apabila masuk mengajar di UiTM, saya gunakan pendekatan sama dan mereka yang jadi anak didik saya dahulu sudah tahu cara saya cuma penuntut baharu mungkin tidak tahu.

“Disebabkan itu, ada yang terkejut apabila saya datang ke rumah mereka tempoh hari tetapi percayalah, niat saya cuma nak tengok dan tahu apa punca atau masalah mereka tidak hadir ke kelas.



“Mana tahu ada yang demam atau ada masalah kewangan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Berhubung perkongsian di TikTok, Hisyam mengakui dia tidak tahu video dimuat naiknya itu akan tular dan mendapat perhatian meluas.

Dia terkejut namun bersyukur kerana banyak dapat maklum balas positif daripada pelbagai pihak.

“Sebelum terjah, saya habiskan kelas mengikut jadual dan minta kebenaran dulu daripada pengetua kolej kediaman.



“Saya juga tidak datang berseorangan namun ditemani kakitangan kolej kediaman bersama beberapa penuntut lain yang rakam video kemudian kongsikan rakaman.

“Mulanya video itu hanya dimuat naik di Instagram (IG) dan Facebook (FB) peribadi untuk rakan terdekat.

“Kemudian barulah saya kongsi di TikTok, Alhamdulillah, 99.9 peratus beri komen positif, cuma segelintir saja persoalkan dan anggap perkongsian itu mengaibkan serta cuba sekat hak asasi penuntut,” katanya.

Menurut Hisyam, ada juga netizen yang menasihatkannya supaya memberi tumpuan kepada tugas hakiki sebagai pensyarah saja.



“Ada yang minta saya ajar saja sampai habis silibus dan kata buat apa nak menyibuk?

“Ikutkan saya boleh saja buat begitu namun sebagai pensyarah yang juga dilantik sebagai pengetua pelajar ‘Non Residen’ (NR), iaitu pelajar tinggal di luar, jadi saya perlu ambil tahu mengenai kebajikan mereka.

“Ia kerana saya mahu mereka utamakan pelajaran dan jadi manusia berguna nanti terutama kepada keluarga dan negara,” katanya.

Ditanya hala tujunya, Hisyam berkata, dia belum terfikir untuk mengucapkan selamat tinggal dalam bidang pendidikan.



“Saya percaya aturan Allah buat saya amat cantik kerana selain mengajar, saya dapat peluang membantu pelajar.

“Jadi setiap kali balik rumah, saya akan berasa puas dan lega kerana dapat kongsi ilmu dengan penuntut.

“Nasihat saya kepada penuntut di luar sana, jangan ponteng kelas kerana ia satu kerugian dan tidak taksub dengan permainan video yang boleh menyebabkan leka dengan pelajaran,” katanya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button