Aidilfitri paling bermakna buat Herra

Seremban: Aidilfitri ini sangat bermakna buat Noor Herra Hardiana Badri apabila dapat meraikannya di rumah yang lebih selesa.

Noor Herra, 37, adalah ibu tunggal yang kisahnya pernah dilaporkan Harian Metro sebelum ini susulan derita mengurus anak autisme berusia enam tahun seorang diri, hidup susah serta tidak mampu membayar sewa rumah RM550 sebulan.

Perkongsian kisahnya menarik perhatian ramai pihak untuk membantu, selain permohonannya untuk menyewa unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) diluluskan.



“Alhamdulillah, saya bersyukur selepas berita keluar di surat khabar, pihak Majlis Bandaraya Seremban (MBS) memanggil saya untuk ditemuduga dan pada awal April lalu, saya dibenarkan untuk berpindah masuk (PPR).

“Sewanya hanya RM150 sebulan berbanding sewa rumah lama sebanyak RM550 termasuk bil air dan elektrik. Ia banyak membantu saya untuk menampung perbelanjaan harian dan keperluan anak, Muhammad Danish Riza Hadi,” katanya.

Noor Herra yang berasal dari Triang, Pahang berkata, dia kini menjual kerepek secara dalam talian untuk menambah pendapatan dan bersyukur menerima sambutan menggalakkan daripada pembeli.

“Jika dahulu saya terpaksa meminjam bawang atau telur dari jiran atau terpaksa meredah perjalanan ke kampung di Pahang semata-mata untuk mengambil barang dapur daripada ibu di kampung.



“Kini dengan sewa rumah yang lebih murah dan perniagaan dalam talian, saya sedikit lega dan menampung keperluan harian dan Danish,” katanya yang memberitahu sangat terharu dan berterima kasih kepada pelbagai pihak yang membantunya termasuk dermawan yang membayar yuran sekolah khas anaknya sehingga Disember depan.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button