Syed Saddiq hadapi dua tuduhan pindaan kes pecah amanah

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan hari ini mengemukakan dua pertuduhan pindaan berhubung kes pecah amanah RM1 juta dan menyalahgunakan wang RM120,000 milik Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) terhadap Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Dua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan, pada prosiding pengurusan kes hari ini dan Syed Saddiq, 29, mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan pindaan berkenaan.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, bekas Menteri Belia dan Sukan itu didakwa bersubahat dengan Penolong Bendahari ARMADA, Rafiq Hakim Razali yang mana dia diamanahkan dengan penguasaan ke atas dana berjumlah RM1 juta, telah melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.



Kesalahan didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad di Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, di sini pada 6 Mac 2020, mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Syed Saddiq didakwa dengan curangnya menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik ARMADA Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang berkenaan.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini, antara 8 April 2018 hingga 21 April 2018, mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.



Sebelum ini, beliau turut didakwa atas dua pertuduhan iaitu membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram dengan memindahkan wang masing-masing RM50,000 di dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, hasil aktiviti haram.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 Jun dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Sabitan kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram.



Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, berkata tiada perubahan pada tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini dan peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Syed Saddiq tidak membantah perkara itu.

Hakim Mohamed Zaini mengekalkan tarikh perbicaraan itu.

Mahkamah sebelum ini menetapkan 22 hari bermula 7 hingga 10 Jun, 20-22 Jun, 27 dan 28 Jun serta 4-8 Julai, 13-15 Julai dan 18-22 Julai untuk perbicaraan kes. – BERNAMA




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading