Izzue Islam terhutang budi dengan pengorbanan isteri

 

Oleh Pena Merah

Izzue Islam terhutang budi dengan pengorbanan isteri

Pelakon dan pengacara, Izzue Islam, 34, mengakui berasa terhutang budi dengan pengorbanan isterinya, Awin Nurin yang bukan sahaja teman setianya tetapi juga individu penting yang menguruskan kerjaya seninya selama ini.



Malah, kata Izzue, dia juga tidak boleh membayangkan andai suatu hari nanti Awin dijemput Illahi.

“Kami pernah berborak tentang ini dan saya pernah cakap, boleh tak jika kita mati bersama.

“Tanpa isteri, tidak akan ada Izzue Islam seperti sekarang. Saya tak pernah bayang memiliki kehidupan seperti ini.

“Saya pernah pergi penggambaran tanpa Awin sebab dia demam di rumah. Seharian saya jadi tak tentu arah. Saya lebih rela dia demam di depan mata daripada tinggalkannya sendirian,” katanya.



Izzue berkata demikian menerusi satu temu bual podcast bersama Datuk Rosyam Nor di saluran Suhan Channel.

Selain itu, pelakon Sabarlah Duhai Hati itu lagi, Awin atau Nurinafilah Waharudin adalah individu yang membantunya menghadiri ujibakat pemilihan pelakon di awal kariernya.

“Pengenalan saya dan Awin bermula pada tahun 2008, saya kerja di kedai makan sementara dia kerja di salon berdekatan. Kami mula menjadi kawan dan bermulalah bibit percintaan.

“Awin jugalah yang mengajar saya membuat permohonan menjadi pelakon melalui internet dan menghadiri ujibakat.



“Siapa sangka, saya diterima sebagai pelakon tambahan selepas ujibakat pertama, manakala dia diterima sebagai pasukan busana,” tambahnya.

Gusar kehilangan Awin, Izzue mengambil keputusan besar berkahwin ketika popularitinya sedang meledak pada tahun 2013.

“Saya memilih berkahwin ketika nama saya sedang naik. Keputusan itu saya ambil kerana takut kehilangan orang yang betul-betul mencintai dan mahu hidup dengan saya.

“Permainan industri dan media ini lain. Kalau hati tak kental, bahaya,” jelasnya.



Untuk rekod, Izzue Islam berkahwin dengan Awin Nurin di Dewan Shah Alam pada 2 Jun 2013.

-Utusan-

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button