Tarif baharu air Terengganu berkuatkuasa 1 Februari

 

Oleh Pena Merah

Tarif baharu air Terengganu berkuatkuasa 1 Februari

 



Tarif baharu air bagi kategori pengguna domestik di Terengganu naik 16 sen, termasuk caj elektrik bagi setiap meter padu berkuat kuasa 1 Februari ini, kenaikan terbaharu selepas kali terakhir semakan dibuat 27 tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu (SATU), Ts Abdul Karim Endut, berkata pelarasan itu akan menyaksikan caj minimum bagi pengguna domestik beralih daripada RM4 kepada RM5.80 sebulan.

Bagi isi rumah yang menggunakan air sehingga 20 meter padu, katanya, caj bagi setiap meter padu akan beralih daripada 42 sen permeter padu kepada 58 sen permeter padu, termasuk caj elektrik.

“Ini bermaksud bagi akaun menggunakan 20 meter padu setiap bulan, caj baharu akan meningkat sebanyak RM3.20 sebulan atau 10.7 sen sehari. Caj elektrik sebelum ini diserap ke dalam operasi SATU, namun bagi pelarasan kali ini, ia tidak lagi diserap sebagai kos operasi,” katanya.



Beliau menjelaskan demikian pada Taklimat Pelaksanaan Pelarasan Kadar Perkhidmatan Bekalan Air dan Caj Elektrik 2024 di Bilik Gerakan SATU, di sini hari ini.

Menurutnya, bagi penggunaan air sebanyak 20 hingga 35 meter padu, caj baharu akan beralih daripada 65 sen permeter padu kepada 83 sen permeter padu atau peningkatan keseluruhan sebanyak RM5.90 sebulan atau 20 sen sehari.

“Penggunaan air melebihi 35 meter padu, caj baharu adalah RM1.08, termasuk caj elektrik berbanding kadar lama RM1,” katanya.

Abdul Karim berkata, bagi kategori domestik pukal pula, caj minimum secara pukal akan berubah kepada RM10.80 sebulan dan caj baharu beralih sebanyak 8 sen kepada RM1.08 bagi penggunaan setiap meter padu.



“Bagi kategori bukan domestik, iaitu perusahaan komersial serta bangunan bukan domestik lain, akan berlaku peralihan kadar baharu kepada RM1.08 bagi penggunaan air sehingga 35 meter padu, manakala penggunaan lebih 35 meter padu dikenakan caj RM1.48 setiap meter padu.

“Caj penggunaan air untuk kategori khas, termasuk surau dan masjid, rumah ibadat dan institusi kebajikan serta perkapalan akan bertambah kepada 8 sen bagi setiap meter padu mengikut kadar sedia ada,” katanya.

Katanya, subsidi air percuma 20 meter padu oleh SATU akan diteruskan kepada golongan B40 dan kategori yang layak, termasuk masjid dan surau mengikut ketetapan kerajaan negeri.

Beliau menjelaskan, pelarasan tarif baharu air itu membabitkan 13,715 akuan dengan nilai keseluruhan RM2.5 juta setahun.



“SATU sebagai penyelia perkhidmatan bekalan air terawat di Terengganu, menyediakan perkhidmatan kepada lebih 1.2 juta rakyat, meliputi 342,364 akaun, pengguna domestik dan bukan domestik,” katanya.

-Berita Harian-


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading