Mujur sempat selamat

Shah Alam: Seorang gadis yang dipercayai cuba terjun dari tingkat lima sebuah pasar raya di Seksyen 7, di sini, hari ini, diselamatkan oleh pengawal keselamatan dengan kerjasama anggota bomba dan penyelamat.

Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, bomba yang menerima panggilan pada jam 6.04 petang, tiba di lokasi pada jam lapan minit kemudian.

“Sebaik tiba di lokasi, bomba mendapati gadis berumur 19 tahun berada di tingkat lima pasar raya terbabit dan cuba terjun.

“Pengawal keselamatan dan pasukan bomba mengambil masa 30 minit memujuk mangsa agar tidak bertindak demikian. Mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Norazam berkata, berdasarkan siasatan dan maklumat yang diperolehi, mangsa yang juga warga tempatan adalah pekerja swasta di Kem Rimba Seksyen 16.

“Menurut penyelianya, mangsa banyak mendiamkan diri. Sejak pagi, dia tidak makan dan mendakwa ada mendengar bisikan suara menyuruhnya ke bangunan pasar raya itu.

“Penyelia memaklumkan mangsa sedang menerima rawatan kemurungan,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat mangsa pernah bertindak mengelar dan melukakan tangan sendiri.

Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi 30 saat memaparkan seorang gadis berada di tingkat lima pasar raya terbabit.

METRO

Leave a Reply