Depannya bengkel kereta, belakangnya ‘kasino mini’

ALOR SETAR-  Berselindung di sebalik perniagaan bengkel mengecat kenderaan namun sebaik memasuki ruang belakang bengkel terdapat ‘kasino mini’ yang menjalankan kegiatan perjudian.
Kegiatan sekumpulan 16 individu ini terbongkar apabila premis di Jalan Kota Tanah, Tongkang Yard, diserbu sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, pada jam 1.30 pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Datuk G Suresh Kumar berkata, polis terpaksa memecahkan pintu besi kerana pemilik enggan membukanya.
Katanya, ketika memasuki premis terbabit pertaruhan sedang berlangsung dan rata-rata mereka sedang asyik berjudi.
Beliau berkata, sekumpulan lelaki dan wanita sedang berkumpul mengelilingi dua buah meja dan sedang bermain judi jenis daun terup Poker dan Pok Deng.
Susulan itu seramai 16 individu terdiri daripada 11 lelaki dan lima wanita berusia 30 hingga 70 tahun ditahan.
Jelas G Suresh, hasil serbuan polis turut merampas sejumlah wang tunai bernilai RM3,917 serta 104 keping daun terup, dua meja kayu, sebuah meja bulat dan 12 kerusi plastik.
Kesemua kaki judi di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6(2) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.
astroawani

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button