Kanak-kanak ditemui bersiar seorang diri

Oleh – Syeikh Baran


Kanak-kanak ditemui bersiar seorang diri
Gambar tangkap layar menunjukkan kanak-kanak lelaki yang ditemukan berjalan sendirian di pusat bandar raya ini, pada Selasa.

Seorang kanak-kanak lelaki berumur 11 tahun ditemukan berjalan sendirian di pusat bandar raya ini, pada Selasa dipercayai keluar rumah untuk bersiar-siar seorang diri.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, hasil siasatan mendapati kanak-kanak itu tidak memaklumkan perkara berkenaan kepada ibunya.



Menurut beliau, ibu kanak-kanak terbabit sedang berpantang selepas baru 11 hari melahirkan anak ketiga, manakala bapanya dikatakan bekerja di Singapura.

“Hasil pemeriksaan fizikal ke atas tubuh badan kanak-kanak tersebut, tidak ada sebarang tanda-tanda kecederaan atau penderaan serta tidak berlaku unsur-unsur pengabaian oleh penjaganya,” katanya dalam satu kenyataan.

Raub berkata, pihaknya mendapat makluman pada jam 9.22 pagi tadi berhubung penemuan kanak-kanak warga tempatan itu di Jalan Susur 6, di sini.

“Kanak-kanak itu dijumpai bersendirian tanpa ditemani penjaga, oleh seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun yang kebetulan melalui kawasan itu sebelum membawanya ke Balai Polis Larkin, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan.



“Hasil siasatan polis mendapati kanak-kanak itu tinggal bersama keluarganya di kawasan perumahan Taman Tasik Lagenda yang terletak kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian.

“Kanak-kanak itu juga masih bersekolah rendah di bandar raya ini.

Ujar beliau, kanak-kanak itu diserahkan kepada ibu bapanya selepas dokumen dokumentasi selesai dibuat.

Sumber – SINAR HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button